BACHOK - Jabatan Pertanian Kelantan sedang memantau serangan sejenis rerama yang kini telah memusnahkan tanaman jagung susu di Bachok dan dibimbangi boleh merebak dengan cepat ke kawasan lain terutama di negeri jiran seperti Terengganu dan Pahang.
Pengarahnya, Norbahani Zakaria berkata, mengikut kajian, rerama itu yang boleh terbang sehingga 100 kilometer semalaman akan hinggap ke atas sesuatu tanaman dan bertelur, manakala larvanya memakan jenis tanaman jangka pendek.
"Lebih membimbangkan spesies itu turut hinggap ke atas tanaman padi dan Kelantan pula sebuah negeri pengeluar padi terbesar di negara ini,” katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan tanaman jagung yang rosak teruk akibat serangan rerama itu di Kampung Sungai di sini, hari ini.
Beliau berkata, serangan rerama itu bermula dari Thailand kemudian merebak ke Perlis dan Kedah, manakala di negeri Kelantan, ia menyerang tanaman di Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas, Tumpat, Pasir Puteh dan terbaru di Bachok.
Katanya, serangan itu boleh dikawal di peringkat awal dengan semburan racun tetapi jika ia berlaku di peringkat pengeluaran buah, pokoknya perlu dipotong dan dibakar sebagai usaha membendung penularannya.
Ketua petani tanaman jagung berkelompok Kampung Sungai, Mohamed Noor Awang Hamat, 71, berkata, pihaknya mengalami kerugian hampir RM200,000 apabila lebih 70 peratus tanaman musnah akibat serangan itu dalam tempoh dua minggu lepas.
Beliau berkata, kerugian itu merangkumi benih, pagar, baja, kos buruh dan hasil yang bakal dituai pada awal bulan depan.
Katanya, larva rerama itu turut memakan batang tanaman dari dalam menyebabkan daun menjadi kering dan layu selain memakan bijinya.
Serangan itu turut menyebabkan Syarikat Elite Management iaitu penaja projek tanaman tersebut terpaksa membatalkan pembelian hasil tanaman itu untuk dieksport ke Singapura. - Bernama