PUTRAJAYA - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bersedia menggerakkan lebih ramai anggota bagi membantu penyelarasan proses saringan koronavirus (Covid-19) untuk individu yang tiba dari Sabah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, seramai 50 anggota APM kini bertugas di KLIA dan KLIA2.
"Dengan keanggotaan lebih 4,000 orang, lebih ramai boleh digerakkan di KLIA dan KLIA2.
"APM sebagai barisan hadapan sedia membantu dan jika diperlukan, kita akan tambah bilangan anggota kerana kita ada sumber manusia yang mencukupi,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Bil 1/2020 di sini semalam.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas aduan dan laporan berhubung kesesakan di terminal lapangan terbang berkenaan ketika proses saringan Covid-19 ke atas individu yang tiba dari Sabah.
Sementara itu, katanya, APM juga boleh membantu menghantar pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit bawah pengawasan (PUS) ke hospital atau pusat kuarantin.
"Jika ada individu dari Sabah yang dikesan sebagai PUS atau PUI, kita akan bantu hantar mereka menggunakan aset sedia ada,” katanya. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:Saringan Covid-19 di KLIA, KLIA2 sesak
Protokol ketibaan penumpang dari Sabah berjalan lancar