KABUL- AFGHANISTAN. Amerika Syarikat (AS) dan Taliban mencapai persetujuan terhadap rangka kerja perjanjian dalam rundingan rundingan damai antara kedua-dua belah pihak terbabit, menurut ketua perunding Washington, semalam.
Di bawah perjanjian awal itu, kumpulan pejuang terbabit memberi jaminan untuk mengelakkan wilayah Afghanistan digunakan sebagai markas pengganas yang akan membawa penarikan balik kesemua tentera sebagai pertukaran dengan konsesi lebih besar daripada Taliban.
"Konsesi tersebut adalah termasuk persetujuan Taliban untuk melaksanakan gencatan senjata dan rundingan secara terus dengan kerajaan Afghanistan yang sering ditolak kumpulan itu sebelum ini.
"Kami mempunyai draf rangka kerja tersebut yang perlu diperincikan lagi sebelum dimeterai. Pada kali ini, ia agak meyakinkan," kata Zalmay Khalilzad menerusi wawancara bersama The New York Times di Kabul.
Selepas sembilan tahun usaha untuk mencapai perjanjian damai dengan Taliban terhenti, draf rangka kerja tersebut dilihat sebagai langkah terbesar untuk menamatkan konflik selama hampir dua dekad yang telah meragut puluhan ribu nyawa selain mengubah dasar luar AS.
Pegawai kanan Taliban turut mengesahkan draf perjanjian tersebut dan sebuah 'kumpulan kerja' akan memaparkan butiran tentang garis masa penarikan balik tentera AS.
Ia bagaimanapun menyatakan perjanjian itu bukan sebahagian syarat untuk Taliban berunding dengan Kabul atau melaksanakan gencatan senjata.
Susulan itu, Khalilzad berkata, beliau sedang mencari jalan termasuk bantuan dari negara serantau untuk meyakinkan Taliban bertemu dengan kerajaan dan setuju pelaksanaan gencatan senjata tersebut. - New York Times