SHAH ALAM - Setiap parti kompenan PH perlu berpegang kepada status quo bagi membuat pemilihan calon dalam PRK Dun Semenyih yang akan berlangsung pada 2 Mac depan.
Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Sallehuddin Amiruddin berkata menerusi mesyuarat Majlis PH Peringkat Negeri Selangor baru-baru ini, parti Bersatu telah diberi mandat bagi mengemukakan nama-nama calon untuk diketengahkan dalam PRK kali ini.
Menurut beliau, menerusi tiga PRK di Selangor sebelum ini, parti Bersatu tidak pernah melanggar status quo sedia ada berikutan kerusi-kerusi berkenaan diwakili oleh calon dari parti kompenan PH yang lain.
"Oleh itu, secara prinsipnya semua pihak perlu ikut status quo sedia ada.
"Dan jika keputusan Majlis Presiden nanti tidak mengikut status quo berkenaan, ia dibimbangi akan menyebabkan berlakunya ketidakstabilan di dalam PH,"katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu sudah ada calon Semenyih
Terdahulu, Pengerusi PH Selangor, Amirudin Shari memaklumkan terdapat suara di peringkat akar umbi yang mahukan kepimpinan parti untuk memilih calon dari PKR bagi bertanding dalam PRK Dun Semenyih ini.
Namun begitu, Bersatu Selangor sebelum ini memaklumkan pihaknya sudah mengenal pasti senarai calon untuk bertanding nanti dan akan diserahkan kepada kepimpinan pusat bagi dimuktamadkan dalam tempoh terdekat.
Mengulas lanjut, Salehuddin berkata permintaan akar umbi seperti dinyatakan oleh Amirudin itu merupakan isu terpencil dan menjadi perkara biasa dalam kancah politik tanah air.
"Apa yang penting sejauh mana calon yang diketengahkan itu dapat membawa suara rakyat di Sidang Dun nanti dengan perkhidmatan yang memuaskan,"katanya.
Dalam pada itu, Salehuddin berkata PH Selangor kini sedang giat membuat persiapan jentera memandangkan setiap parti kompenan gabungan itu akan memainkan peranan dalam kempen PRK Dun Semenyih
"Di peringkat Bersatu telah selesai dan sekarang kita fokus untuk susun jentera di peringkat PH kerana semua parti akan bersama pada kali ini.
"PRK kali ini lebih kepada PH dan bukan hanya kepada calon sesebuah parti sahaja,"katanya.