KUALA LUMPUR - Bagi melonjakkan industri pembinaan negara, Jabatan Kerja Raya (JKR) memperkenalkan Pelan Strategik JKR 2021-2025, yang disifatkan sebagai pendekatan terbaik dalam menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan mengoptimumkan penggunaannya.
Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelan yang dibangunkan itu turut dilihat mampu memanjangkan jangka hayat aset, meningkatkan imej kerajaan serta membantu menjana pertumbuhan ekonomi negara.
"JKR telah diberi mandat dan tanggungjawab besar untuk melaksanakan agenda memperkasakan pembangunan infrastuktur negara, jadi pelan strategik ini mampu melonjakkan industri pembinaan setanding negara maju lain.
Pembangunan pelan strategik ini juga adalah seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) menerusi WKB, JKR dilihat menyumbang terus kepada dua teras strategik utama iaitu Aktiviti Pertumbuhan Ekonomi Utama dan Transformasi Modal Insan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Strategik JKR 2021-2025 yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman di sini hari ini.
Menurutnya, menerusi pelan berkenaan, JKR akan memberi penekanan dan tumpuan kepada beberapa aspek antaranya kualiti, profesionalisme, produktiviti serta memupuk amalan lestari dalam pelaksanaan projek pembangunan infrastrukturnya.
"Pelan ini turut disifatkan lebih mantap, menyeluruh dan komprehensif dengan penambahbaikan daripada pelan terdahulu.
"Hala tuju pelan ini berasaskan lima tema strategik iaitu kecemerlangan pengurusan aset menyeluruh, pengalaman ko-kreatif bersama pelanggan, pusat kecemerlangan teknikal, memacu kelestarian dan organisasi inovatif," katanya.
Katanya, dalam tempoh tersebut juga, JKR akan memperkasakan adaptasi 'Building Information Modeling' (BMI) bagi projek pembangunan infrastuktur JKR.
"Disasarkan dengan permulaan 50 peratus bagi projek bernilai RM10 juta dan peningkatan 10 peratus pada setiap tahun berikutnya," katanya. - Bernama