PELABUHAN KLANG - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta kerjasama kerajaan negeri Selangor bagi menyelesaikan masalah keretakan struktur Flat Taman Seri Berembang di sini, yang berada dalam keadaan kritikal.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana satu daripada lima blok flat yang berusia 22 tahun itu, kini sudah retak serta pecah malah tidak lagi selamat untuk didiami penduduk kerana ia melibatkan kerosakan pada struktur asas bangunan.
"Saya cuma minta kerajaan negeri Selangor sekiranya mereka sudi bekerjasama dengan KPKT, untuk memberikan sebidang tanah kepada kami supaya 478 unit rumah yang didiami kira-kira 3,000 penduduk dapat dibina baharu. Kita anggarkan kos pembinaan semula adalah sebanyak RM50 juta.
"Isu struktur bangunan tersebut sangat kritikal, kalau kita buat (baiki) satu rumah dan blok sahaja, ia akan menyebabkan 'kesan domino' pada kesemua bangunan di situ. Jadi, ia harus diselesaikan dengan cara menyeluruh," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan flat berkenaan hari ini.
Baru-baru ini, sebuah stesen televisyen tempatan melaporkan keadaan satu daripada lima blok flat tersebut yang retak serta pecah, menggusarkan penduduk untuk mendiami perumahan terbabit.
Zuraida berkata, setakat ini, sebanyak 30 rumah melibatkan 30 keluarga terjejas akibat kerosakan itu dan pihaknya berharap mereka dapat ditempatkan di mana-mana Rumah Selangorku yang berdekatan.
"KPKT tidak ada (rumah kos rendah) berdekatan kawasan ini, yang ada di Lembah Subang, Petaling Jaya dan saya minta kerjasama kerajaan negeri untu menyelesaikan isu ini,” katanya.
Tambah Zuraida, sekiranya penempatan semula penduduk Flat Taman Seri Berembang ini berjaya dilaksanakan, ia akan dijadikan model kepada KPKT bagi pembangunan semula rumah kos rendah berusia 30 tahun khususnya di Selangor.
"Kita sudah maklum tentang masalah ini memandangkan seluruh negeri Selangor banyak rumah kos rendah berusia lebih 30 tahun.
"Kita kena semak semula polisi rumah lebih 30 tahun untuk kita melihat keadaan, keselamatan dan kebersihan penduduk. Jadi, mesti ada program pembangunan semula (rumah kos rendah) besar-besaran di negeri Selangor,” katanya. - Bernama