SEREMBAN - Barisan Nasional (BN) dan semua parti di bawah Perikatan Nasional (PN) perlu mengadakan perbincangan lebih awal dalam menentukan calon parti yang akan dipilih sebagai ketua menteri dan menteri besar sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata, perbincangan lebih awal mengenai pembahagian kerusi dan calon daripada parti yang akan diberikan jawatan menteri besar atau ketua menteri itu bagi mengelak berlakunya konflik pada saat akhir.
"Kita perlu melihat perkara ini dan mencari titik pertemuan untuk perbincangan mengenai perbincangan pengagihan kerusi. Jangan tunggu sehingga saat akhir.
"Itulah sebabnya di Sabah saya lihat tidak berapa positif apabila banyak perbincangan dilaksanakan pada saat akhir.
"Jika dibuat awal dan ada semangat hormat antara satu sama lain perkara ini dapat dielakkan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku Anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Sembilan di sini hari ini.
Menurut Khairy yang juga Menteri Teknologi dan Inovasi, apa yang berlaku berkenaan pelantikan Ketua Menteri Sabah ada hikmahnya dan berharap tiada konflik kerjasama antara BN dan PN.
"Mungkin Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan secara mengejut dan tidak cukup masa untuk berunding.
"Untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang ada masa lagi dan inilah waktu kita buat keputusan dan berbincang elok-elok parti mana yang dapat jawatan tertentu. Bagaimanapun ia bergantung kepada prestasi pemimpin yang akan dipilih," katanya.
Katanya, kesediaan untuk bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah untuk melihat penyatuan parti Melayu sekali gus memastikan kerajaan berfungsi selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
Ditanya adakah keputusan PRN Sabah menjadi petanda keberhasilan gabungan BN dengan PN, beliau berkata, ia adalah kemenangan yang tipis, namun dapat beri sedikit momentum positif.