ARTIKEL ‘Di Mana Guru Selepas Waktu Sekolah?’ oleh individu bernama Izyan Qistina Qusairi tular menyebabkan ledakan bom daripada golongan guru-guru.
Artikel yang lebih menjurus pandangan individu tersebut terhadap perilaku pelajar sekolah yang dilihat tidak langsung mengamalkan penjarakan fizikal selepas melepasi pintu pagar sekolah dianggap tidak wajar.
Izyan Qistina menunjukkan bagaimana ada pelajar yang tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak memakai pelitup muka selepas waktu sekolah.
Mempersoal dan menyalahkan mengapa guru tidak mengambil tindakan atau memberi peringatan terhadap perkara itu dilihat telah mengguris hati semua guru.
Menyalahkan warga pendidik mengenai keadaan pelajar selepas waktu sekolah dianggap sebagai keterlaluan.
Apakah tujuan Izyan Qistina bersuara begitu? Ramai golongan guru mula bersuara dan bertanya pula di mana tanggungjawab ibu bapa selepas waktu sekolah?
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dalam satu kenyataan menerusi Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock semalam menyatakan mengenai bentuk tugasan guru-guru selain mengajar di dalam kelas.
Menurutnya, tugasan seorang guru bermula sebelum fajar menyingsing iaitu dengan berdiri dan menyambut kedatangan pelajar-pelajar mereka.
Guru akan memastikan suhu badan pelajar diambil setiap hari mengikut SOP yang ditetapkan kerajaan dan guru juga individu yang sentiasa memberikan kata-kata dorongan dan galakan serta peringatan kepada pelajarnya tidak mengira apa juga hal.
Tidak hanya itu, tugasan guru itu juga merangkumi mengejar pelajar yang ponteng kelas, hal disiplin, kes kecurian, bergaduh sesama pelajar dan banyak lagi.
Guru juga bertindak membuat persediaan jika ada orang kenamaan yang mahu hadir ke sekolah dengan membaiki bumbung bocor, tandas rosak serta mengambil tahu mengenai hal kantin sekolah.
Semua itu adalah bagi memastikan keselesaan serta keselamatan pelajar sepanjang berada di sekolah.
Selepas sesi sekolah tamat, guru-guru mengikut giliran bertugas di pagar sekolah memastikan pelajar-pelajar berjalan dan melintas jalan raya dengan selamat dan menenangkan keadaan apabila ada pelajar bergegas hendak pulang.
Ekor mata guru-guru sentiasa memerhati setiap pelajar yang pulang perlu dalam keadaan baik.
Apakah tugas guru masih tidak cukup dan perlu hingga di luar pagar sekolah?
Tidak adil sebenarnya jika guru dikatakan tidak ada kerja selepas pelajar melintasi pagar dan waktu persekolahan.
Urusan pelajar dan guru hanya bermula di pintu utama dan berakhir di tempat sama mengikut waktu yang telah ditetapkan.
NUTP juga bertanya di manakah tanggungjawab ibu bapa yang sepatutnya membawa pulang anak-anak mereka dan bukan melepaskan tanggungjawab itu di bahu guru sahaja.
Dibuli
Kasihan sungguh melihat golongan pendidik ini. Adakalanya seperti ‘dibuli’. Kerjaya guru hari ini tidak lagi seperti 20 tahun lalu.
Jika dahulu, slogan guru ibarat lilin yang membakar diri benar-benar terkesan kepada ibu bapa dan pelajar hingga guru diletakkan pada satu kedudukan yang sangat baik.
Ibu bapa lebih percaya guru daripada anak mereka sendiri hinggakan ada yang memberikan rotan sebagai ‘mandat’ untuk mendidik anak mereka andai ada yang tidak kena.
Tugas guru ketika itu juga hanya di kawasan sekolah. Di luar, bukan lagi tugas guru. Di luar, peranan ibu bapa pula mencorak mereka.
Pada zaman kecanggihan teknologi ini, guru bagaikan tidak lagi dihormati, malah ada yang sanggup menyaman guru jika mencuit anak mereka.
Kisah berani ibu bapa atau anak murid saman guru ini bukan perkara biasa lagi. Diharapkan perkara ini dapat diperhalusi lagi.
Semoga ibu bapa dapat kembali kepada fitrah, menjadi guru di rumah dan membentuk jati diri anak-anak.
* Haslina AR Kamaludin ialah Penerbit Unit Video Sinar Harian