Cabaran besar menanti Hajiji

Iklan
Hajiji mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah Ke-16 di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin pada Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri Sabah di Istana Negeri. - Foto Bernama

PERTEMPURAN terbuka antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) mengenai siapa yang lebih layak memimpin kerajaan negeri Sabah sepatutnya sudah berakhir sebaik sahaja Datuk Seri Hajiji Mohd Noor mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri Sabah ke-16 di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin semalam.

Turut mengangkat sumpah ialah tiga Timbalan Ketua Menteri iaitu Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Presiden Solidariti Tanah Air (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Naib Presiden PBS, Datuk Dr. Joachim Gunsalam.

Iklan
Iklan

Hajiji, 65, yang juga Pengerusi PN Sabah bukanlah nama asing dalam landskap politik Sabah kerana beliau pernah menjawat jawatan menteri dalam Kabinet negeri sebelum ini.

Dalam PRN Sabah pada Sabtu lalu, Hajiji menang selesa di kerusi Dewan Undangan Negeri Sulaman dengan majoriti 3,099 undi sekali gus mempertahankan kerusi yang disandangnya sejak 30 tahun lalu.

Iklan

Pelantikan Hajiji ketika Sabah berdepan cabaran ekonomi dan kesihatan yang serius ekoran penularan semula wabak Covid-19 adalah tugas terbesar yang perlu diselesaikannya.

Beliau juga harus menyatupadukan rakyat dan pemimpin negeri yang mungkin terpecah akibat politik. Beliau perlu menjadi Ketua Menteri untuk semua rakyat Sabah.

Iklan

Hajiji dan barisan Kabinetnya harus segera berganding bahu memulakan langkah untuk menyelesaikan masalah ekonomi dan rakyat.

Namun, Hajiji tidak boleh dibiarkan bersendirian. Hanya dengan cara itu Hajiji dapat memberi tumpuan kepada pembangunan dan ekonomi di sebalik pandemik Covid-19 yang terus mencengkam negeri itu.

Gelora politik Sabah yang boleh datang dan pergi dalam sekelip mata adalah satu lagi cabaran. Apatah lagi kerajaan pimpinan Hajiji hanya mempunyai 38 kerusi berbanding 35 kerusi pembangkang dan Bebas.

Dalam hal ini, bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal boleh memainkan peranan untuk menstabilkan politik Sabah dengan menjadi pembangkang yang berkesan di Dewan Undangan Negeri.