KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas berdepan detik cemas apabila menantunya yang sedang mengamuk cuba menikamnya di sebuah rumah di Jinjang di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, mangsa berusia 68 tahun itu terkejut apabila suspek, 40, tiba-tiba cuba menikamnya dengan pisau pada jam 12.30 tengah malam.
"Isteri mangsa berjaya menghalang perbuatan suspek sebelum lelaki itu kembali tenang dan masuk ke bilik
"Mangsa terus menghubungi anak lelakinya yang datang ke rumah itu sejam kemudian dan mengetuk pintu bilik meminta suspek keluar," katanya dalam kenyataan semalam.
Menurutnya, tidak lama kemudian suspek keluar dari bilik dan terus beredar dengan membawa beg pakaiannya.
"Siasatan awal mendapati suspek tinggal bersama keluarga mentuanya sejak enam tahun lalu dan suspek didakwa pernah beberapa kali menghisap dadah di dalam bilik tidurnya.
"Kejadian yang berlaku mungkin disebabkan pengaruh dadah. Kita sedang mengesan suspek yang melarikan diri," katanya.
Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.