CLEVELAND - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan calon Presiden AS, Joe Biden semalam saling bertukar-tukar kata-kata yang pedas, menyerang kredibiliti dan kewibawaan masing-masing dalam pusingan pertama perdebatan Presiden negara itu.
Perdebatan itu diadakan sebelum 35 hari Pilihan Raya Presiden AS bermula dan dianggap sebagai yang paling tegang dalam sejarah pilihan raya negara berkenaan.
Kedua-duanya tidak berjabat tangan ketika berada di atas pentas disebabkan oleh pandemik koronavirus (Covid-19), ketiadaan majlis sambutan tradisi yang melambangkan 'kepahitan' melanda negara tersebut sebelum Pilihan Raya Presiden AS bermula pada 3 November ini.
"Semua yang diperkatakan setakat ini adalah satu penipuan. Saya tidak berada di sini untuk mencabar penipuannya. Setiap orang tahu beliau seorang penipu," kata Biden yang merupakan bekas Naib Presiden AS.
Biden yang bercakap dengan nada agresif dan berani walaupun Trump sebelum ini menyatakan beliau kurang bertenaga kemudian memberitahu Presiden AS itu:"Bolehkah anda menutup mulut, lelaki?"
"Adalah sukar untuk bercakap dengan seorang badut," kata Biden pada satu ketika.
Biden yang mendahului Trump dalam beberapa tinjauan pendapat cuba untuk mengaitkan dengan kematian lebih 200,000 nyawa di AS akibat Covid-19 iaitu lebih ramai berbanding mana-mana negara di dunia.
"Berapa ramai daripada anda bangun pada pagi ini dan mendapati sebuah kerusi kosong di meja dapur kerana seseorang telah meninggal dunia akibat Covid? soal Biden.
Dengan mempersendakan Trump yang berusia 74 tahun berhubung kenyataannya yang 'dahsyat' di podium Rumah Putih, Biden berkata: Mungkin anda boleh 'mencelupkan' peluntur di lengan anda dan ia akan 'menjaga' (anda)."
Trump membalas balik dengan berkata, penggunaan bahan peluntur itu merupakan satu gurauan.
Beliau membidas rekod Biden sebagai Naib Presiden ketika berkhidmat semasa pentadbiran Presiden AS, Barack Obama malah mempersoalkan rekod pendidikannya yang berusia 77 tahun itu.
"Jangan menggunakan kata-kata bijak dengan saya, Jangan guna perkataan itu ke atas saya. Tidak ada yang bijak tentang anda, Joe (Biden)," kata Trump.
Moderator perdebatan itu ialah Chris Wallace iaitu pengacara Fox News.
Trump yang memecahkan ketelusan Presiden apabila enggan mendedahkan penyata cukainya dan dilaporkan hanya membayar cukai pendapatan persekutuan sebanyak AS$750 (RM3,115.87) pada tahun pertama beliau menjadi Presiden.
Bagaimanapun, pada perdebatan itu, Presiden AS itu menyatakan beliau telah membayar cukai berjumlah berjuta-juta dolar.
Beberapa jam sebelum perdebatan itu, Biden mendedahkan data cukainya dan pada perdebatan itu juga, beliau menuntut Trump melakukan perkara yang sama.
Trump juga menyatakan, keputusan Pilihan Raya Presiden pada 3 November depan mungkin tidak akan diketahui selama beberapa bulan dan mengelak menjawab soalan sama ada beliau akan menerima keputusannya.
Bagaimanapun, Biden berjanji menerima keputusan tersebut dalam perdebatan selama 90 minit yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen itu.
Beliau juga mendakwa Trump gagal untuk berkonfrontasi dengan Rusia dan menuduhnya menjadi 'anak anjing' kepada Presiden Vladimir Putin.
Trump juga berdebat di Cleveland dengan harapan pencalonannya mengenai Hakim Konservatif, Amy Coney Barret bagi menggantikan mendiang Ruth Bader Ginsburg sebagai Hakim Mahkamah Agung akan menjadi 'peluru perak' atau jalan penyelesaian kepada satu masalah yang sukar tetapi cepat dilakukan.
Bagaimanapun, Biden membidas dengan menimbulkan kebimbangan bahawa Barret akan mengundi untuk menentang hak pengguguran bayi. - AFP