IPOH - Kerajaan Perak merancang untuk melatih lebih ramai pemandu pelancong (tour guide) yang memiliki kemahiran mengenai alam semula jadi (nature guide) dalam usaha memartabatkan lagi pelancongan eko (echo tourism) di negeri ini.
Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Perak, Tan Kar Hing berkata, perkhidmatan pemandu pelancong yang memiliki kemahiran berkenaan sememangnya diperlukan oleh pelancong demi mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai tempat yang dilawatinya.
"Pelancongan eko sedikit berbeza dengan Pelancongan Bandar (City Tourism.) Sebab itu, kita perlukan pemandu pelancong terlatih. Kerana pelancong yang datang perlukan pemahaman yang lebih mendalam.
"Oleh itu, kerajaan akan bantu untuk berikan latihan team building, kalau boleh latih anak muda di sini untuk menjadi pemandu pelancong berpengetahuan mengenai alam semula jadi dan juga beberapa perkara lain termasuk faktor keselamatan,” katanya.
Kar Hing berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pelancaran Eko Pelancongan Daerah Sungai Siput dan Kuala Kangsar di Pulau Raia, Sungai Siput, hari ini.
Hadir sama, Penaung Persatuan Pembangunan Pelancongan Daerah Kuala Kangsar, Siti Norlizawati Narawi.
Pelbagai acara menarik turut dianjurkan sempena majlis pelancaran berkenaan, antaranya lawatan ke Pulau Raia, tarik tali, berkayak, aneka hidangan makanan tradisi yang lazat serta jualan barangan cenderahati di Kem Lang Buana, Kampung Jawang.
Sementara itu, Kar Hing menyuarakan rasa bangga kerana pakej pelancongan eko yang ditawarkan di sekitar kawasan Sungai Perak itu diiktiraf sebagai antara yang terbaik di negara ini.
"Saya rasa syukur kerana produk pelancongan ini telah disenarai pendek antara tiga pakej pelancongan eko terbaik di Malaysia.
"Oleh itu, kita melihat potensi besar bagi sektor pelancongan di kawasan ini termasuk di Kuala Kangsar, Kuala Sepetang, Sungai Siput, Lenggong dan sebagainya,” katanya.