Pengunjung, pekerja pusat gimnasium Babel negatif Covid-19

Iklan
Disinfeksi dijalankan di seluruh pusat beli-belah Suria KLCC susulan laporan positif Covid-19 di pusat gimnasium itu baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - Keputusan ujian saringan koronavirus (Covid-19) pengunjung dan pekerja pusat gimnasium Babel, Suria KLCC di sini yang dikehendaki menjalani ujian itu selepas seorang ahlinya dijangkiti wabak berkenaan disahkan negatif.

Terdahulu, seorang individu yang pernah mengunjungi Babel cawangan Suria KLCC dan Taman Tun Dr Ismail antara 9 dan 17 September lalu disahkan positif Covid-19 pada 23 September lalu.

Iklan
Iklan

Suria KLCC dalam satu kenyataan semalam berkata, kesemua yang disaring itu terdiri daripada mereka yang mengunjungi pusat gimnasium itu pada waktu pagi di luar waktu puncak pada tarikh 9 hingga 13 September lalu.

"Kesemua yang berada dan mengunjungi pusat sukan itu telah dijejaki sebaik dimaklumkan kes menerusi e-mel, mereka diminta menjalani saringan seterusnya melakukan kuarantin di rumah.

Iklan

"Seterusnya, keputusan saringan yang keluar pada 25 dan 27 September lalu mengesahkan kesemua mereka negatif Covid-19," katanya.

Menurut kenyataan itu, Suria KLCC akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan mengambil langkah perlu dalam menjaga kepentingan awam.

Iklan

"Suria KLCC melaksanakan kerja disinfeksi menyeluruh di pusat beli-belah terutama di kawasan umum selain meningkatkan jadual pembersihan.

"Ini termasuk pembersihan di bahagian eskalator, lif, pemegang pintu, bilik bayi dan surau yang dibersihkan sepanjang hari dan selepas tamat waktu perniagaan," menurut kenyataan itu.

Suria KLCC memaklumkan keselamatan dan kesihatan pelanggan dan peniaga di pusat beli-belah itu sentiasa menjadi keutamaan.

"Perniagaan akan beroperasi seperti biasa dan kami akan meneruskan langkah kawalan sehingga Covid-19 bukan lagi ancaman.

"Kami menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan khabar angin yang tidak berasas dengan mendapatkan maklumat yang sah dari sumber rasmi," katanya.