SABAK BERNAM - Sebuah resort milik kerajaan negeri di daerah ini dalam keadaan tidak terurus dipercayai tidak beroperasi sejak setahun lalu.
Adun Sabak, Ahmad Mustain Othman yang memuat naik status rakaman video menerusi Facebook beliau berkata, tiada kawalan keselamatan di resort terbabit.
Malah, katanya, operasi pengurusan resort yang tamat kontrak pada Januari tahun lalu itu kini terbiar dan menjadi sasaran pencuri.
"Terdapat peralatan dan pendawaian elektrik di bangunan ini menjadi sasaran pihak tidak bertanggungjawab," katanya.
Ahmad Mustain berkata, kerajaan negeri diminta membuat keputusan mengenai bangunan resort terbabit sama ada dibaik pulih atau dilupuskan.
Katanya, resort itu sebelum ini menjadi tumpuan pengunjung yang singgah bermalam ke Sabak Bernam.
"Sekiranya ingin dibaik pulih, saya minta supaya disegerakan.
"Jika tak boleh dibaik pulih, maka perlu difikirkan sama ada diganti dengan kemudahan kolam renang atau taman tema air yang boleh menjadi tarikan pelancong ke daerah ini," katanya.
Rakaman video berdurasi satu minit 30 saat itu turut mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai.
Bagi seorang pengguna Facebook, Khairuz Zaman berkata, resort itu memerlukan peruntukan baik pulih bagi mengelakkan pembaziran.
"Selain pihak MDSB (Majlis Daerah Sabak Bernam) mungkin Exco Pelancongan Negeri boleh ambil perhatian dan peranan.
"Cuma di pihak YB (Yang Berhormat) sendiri harus memberi cadangan prospek ke hadapan resort berkenaan terutama bagi menggalakkan aktiviti ekonomi dan pelancongan," katanya di ruangan komen terbabit.