Perubahan status FA ke FC beri lebih banyak kelebihan

Iklan
Jamal Nasir

KEJAYAAN semua pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) berubah status daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC) dilihat sebagai lembaran baharu kepada industri bola sepak di negara ini.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, perubahan status itu memberikan banyak kelebihan kepada bola sepak negara dengan pasukan boleh diuruskan dengan lebih profesional.

Iklan
Iklan

Malah, beliau yakin setiap pasukan juga akan lebih berdaya saing dan mampu meningkatkan mutu Liga-M yang selama ini tidak bermaya dan dipalit dengan pelbagai masalah terutama isu gaji pemain.

"Apabila penswastaan ini berjaya maka akan ada dua entiti berbeza iaitu kelab dan persatuan. Kelab ini hanya perlu tumpukan cari duit untuk pasukan sahaja dan dapat memberikan 100 peratus kepada saingan liga dan piala.

Iklan

"FA pula akan uruskan dari segi pembangunan bakat muda dan sebagainya. Ia sesuatu yang bagus apabila diswastakan sekali gus setiap FA dan FC ini boleh fokus dengan tugas mereka sendiri.

"Jika setiap FA dan FC ini melaksanakan tugas mereka dengan baik, saya yakin tahap industri bola sepak di negara kita akan meningkat dan maju. Tetapi, kena betul-betul profesionalah dan diuruskan dengan baik. Kalau tak memang tak ke mana juga bola sepak kita,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Iklan

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan semua pasukan sudah melengkapkan proses penswastaan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan semalam.

Mengulas lanjut, Jamal Nasir juga yakin perubahan status ke FC itu akan menarik lebih ramai penaja untuk menaja pasukan yang beraksi dalam saingan Liga-M ini.

"Masalah besar di Malaysia adalah kurang orang yang nak taja pasukan di Liga-M. Mungkin banyak faktor menyumbang terutama melihatkan kepada liga kita yang kurang menarik. Mereka nak taja pun sudah tentu mengharapkan pulangan yang lumayan. Kalau tak ada pulangan macam mana mereka nak taja.

"Dengan berubahnya status FC ini sedikit sebanyak akan mengubah keadaan itu dengan pasukan akan menjadi lebih berdaya saing dan menarik minat penaja seperti yang berlaku di liga-liga popular di luar negara. Selain itu, perubahan ke FC ini juga akan memudahkan jutawan contohnya membeli kelab bola sepak ini dan ia secara tidak langsung akan memajukan kelab tersebut.

"Dalam masa sama, kelab itu juga boleh menjadi produk yang boleh 'dijual'. Kalau dulu FA ini mungkin sukar nak tarik penaja sebab kadang-kadang bertukar kepimpinan dan dalam masa sama polisi juga berubah. Jadi ada ketika penaja tarik balik tajaan yang telah diberikan.

"Tetapi, kalau FC ini berbeza sebab ia sebuah syarikat. Jika contohnya seorang CEO itu keluar dan CEO lain masuk, ia masih sebuah kelab dengan pengurusan yang sama. Jadi penaja ini akan yakin,” katanya.