KUALA LUMPUR - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) merayu agar Kementerian Pendidikan (KPM) melihat permasalahan dihadapi guru yang memegang jawatan sebagai warden.
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, tugas warden sekolah sangat berat dan perlu banyak kesabaran dalam menjalankan tugas yang diamanahkan tanpa mengira masa.
Menurutnya, apabila murid sekolah mula bersekolah semula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), mereka (warden) tidak dibenarkan balik ke rumah walaupun dalam jangka masa pendek, malah tidak dibenarkan bercuti atau ke mana-mana dalam tempoh itu.
"Skop tugas warden, jika dihitung waktu bertugas mereka adalah melebihi 18 jam sehari, berbeza bagi guru biasa yang mula bekerja dari jam 7 pagi hingga 4 petang.
"Warden bukan sahaja menjalankan tugas memantau murid tetapi terpaksa menjalankan kerja hakiki mereka iaitu mengajar. Dalam pada itu, warden juga tiada masa beriadah bersama keluarga,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Harry berkata, bayaran elaun yang diterima RM240 juga tidak setimpal dengan tugas yang dilaksanakan, menyebabkan kebanyakan guru menolak menjadi warden.
"Guru yang memegang jawatan warden akan disediakan dengan kemudahan rumah, namun perlu disedari rumah yang disediakan didiami oleh pelbagai bilangan guru dan bersilih ganti.
"Terdapat juga rumah yang disediakan terlalu usang dan perlu diperbaiki. Dalam urusan untuk membaiki rumah itu juga mengambil masa yang terlalu lama disebabkan peruntukan yang tidak mencukupi,” katanya.
Katanya, NUTP juga ada menerima permasalahan berkaitan warden yang menduduki rumah yang telah dihapus kira tetapi terpaksa membayar balik Imbuhan Tetap Perumahan yang diterima sepanjang menduduki rumah berkenaan.
"NUTP amat berharap pihak atasan KPM dapat mengkaji semula permasalahan ini dan elaun yang diterima oleh mereka yang memegang jawatan warden setimpal dengan tugas yang diberikan.- Bernama