PERSATUAN Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) akan mengambil tindakan tegas termasuk memecat mana-mana pegawai dan pemainnya yang didapati terlibat dengan rasuah.
Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan gejala itu yang boleh menyebabkan kualiti bola sepak negara merundum.
Menurutnya, pada masa sama akan menyebabkan penaja menjauhkan diri jika rasuah terus berleluasa.
"Kita serius dalam soal rasuah dan jika ada yang ditahan kerana kesalahan itu, kita bersedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk jalankan siasatan dan apa saja keputusan, kita akan akur.
"Kita juga minta kerjasama SPRM untuk tempatkan pegawai di padang atau stadium dari semasa ke semasa untuk memantau jika wujud perlakuan rasuah," katanya kepada pemberita selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah(IBR) PBNS di Dewan Theatrette, Wisma Negeri di sini, hari ini.
Menurutnya, PBNS serius menangani gejala rasuah dan tindakan menandatangani IBR sekaligus memastikan perjalanan bola sepak di negeri ini bersih.
Beliau berkata, gejala tidak bermoral itu masih lagi berlaku dalam bola sepak tempatan sehingga ada yang ditangkap dan didakwa.
Menurutnya, modus operandinya adalah bookie akan mendekati pemain atau seorang individu dengan tawarkan ganjaran lumayan.
"Perkara ini boleh berlaku akibat kurangnya pengawasan daripada pihak jurulatih dan pengurusan pasukan.
"Sebagai pemain profesional, anda perlu bijak menilai baik dan buruk dalam mengembangkan karier bersama persatuan ini. Hanya kerana rasuah karier dibina selama ini akan tamat begitu sahaja," katanya.
Sementara itu pada majlis berkenaan, seramai 133 pemain dan pegawai pasukan dari Liga Premier, Piala Presiden dan Piala Belia serta pengurusan melafazkan IBR sambil disaksikan Pengarah SPRM Negeri Sembilan, Hairuzam Mohmad Amin.