PENYANDANG juara enam musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) kini hanya menunggu detik terbaik untuk sekali lagi dimasyhurkan sebagai juara saingan Liga Super 2020.
Berbaki dua perlawanan, skuad Harimau Selatan itu hanya memerlukan satu mata untuk menyambar trofi Liga Super. Atas kertas, tugas JDT kendalian Benjamin Mora tampak tidak mengundang banyak masalah kepada mereka.
Secara matematiknya, JDT bakal ditabal selaku juara bagi musim ketujuh berturut-turut jika menang atau sekurang-kurangnya seri ketika menanti kunjungan Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam esok.
Jika JDT sah bergelar juara malam esok, ia satu lagi lakaran sejarah baharu yang dicipta kelab dari selatan tanah air itu apabila mendominasi pentas Liga Super selama tujuh tahun berturut-turut.
Namun, persoalan yang sentiasa bermain dalam minda kebanyakan peminat, penyokong mahupun pemerhati bola sepak Malaysia sejak beberapa tahun lalu, sampai bilakah dominasi JDT mampu disekat pasukan lain.
Memang benar dengan pandangan banyak pihak yang mengatakan JDT sudah berada pada satu tahap yang cukup berbeza berbanding pencabar mereka. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan JDT berada dalam kelas tersendiri.
Sejak Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil alih teraju pengurusan JDT pada tahun 2013, skuad Harimau Selatan itu berubah secara total sehingga menjadi kuasa besar Liga Malaysia (Liga-M).
Transformasi besar-besaran yang dilakukan Tunku Ismail sejak menerajui JDT ternyata merubah 100 peratus landskap bola sepak Johor. Serba-serbi boleh dikatakan berada pada tahap cemerlang terutamanya aspek pengurusan.
Pengurusan yang profesional dilihat menjadi tunjang utama kekuatan JDT. Dengan barisan kepimpinan yang diterajui Tunku Ismail, JDT kini boleh berbangga dengan koleksi trofi kejuaraan yang dimiliki.
Bagi yang ada cita-cita mengikut jejak langkah JDT, tidak ada gunanya jika mempunyai bajet besar tetapi gagal dalam pengurusan. Harapnya dengan penswastaan pasukan Liga-M mulai musim depan, arena bola sepak Malaysia benar-benar berstatus profesional.