Kesinambungan Celcom pasca Covid-19

Iklan
Idham Nawawi. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI

PANDEMIK koronavirus (Covid-19) yang melanda seluruh dunia termasuk Malaysia meninggalkan impak yang amat besar, malah hampir melumpuhkan ekonomi susulan banyak sektor yang terjejas kerana kekangan untuk beroperasi seperti biasa.

Dalam situasi sukar ini, industri telekomunikasi berdepan cabaran apabila permintaan terhadap keperluan perkhidmatan rangkaian jalur lebar meningkat.

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Bhd (Celcom), Idham Nawawi berkata, pandemik Covid-19 turut menyaksikan perubahan penggunaan yang sebelum ini banyak di kawasan perniagaan tetapi kini bertumpu di perumahan.

"Bermula awal pandemik, ramai yang bekerja dari rumah, sekali gus menukar fungsi rumah menjadi pusat untuk melakukan pelbagai aktiviti.

Iklan

"Celcom sebagai sebuah syarikat telekomunikasi yang terluas dengan lebih 12 juta pengguna di negara ini terpaksa meningkatkan kapasiti di kawasan-kawasan tersebut,” katanya ketika ditemubual Sinar Harian di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, jika melihat kepada industri lain, apabila permintaan meningkat bermakna perniagaan semakin bagus tetapi berbeza dengan industri telekomunikasi.

Iklan

Katanya, apabila berlaku peningkatan penggunaan dan permintaan, bermakna pelaburan lebih diperlukan untuk memenuhi keperluan tersebut.

"Namun dari segi pendapatan diperoleh, kita tidaklah terjejas teruk jika dibandingkan dengan industri lain seperti perkhidmatan, penerbangan, pengangkutan, perhotelan dan sebagainya,” katanya.

Idham berkata, industri telekomunikasi kini dilihat sebagai satu utiliti atau keperluan asas dan kesinambungan industri telekomunikasi adalah penting untuk pembangunan digital rakyat dan negara di dunia.

Beliau berkata, dahulu rangkaian Celcom banyak digunakan pada waktu malam bermula jam 8 hingga 2 pagi namun kini penggunaannya boleh dikatakan hampir sepanjang hari bermula dari waktu sarapan sehingga lewat malam.

"Ini merupakan cabaran buat kami dan penggunaan rangkaian juga lebih kepada media sosial seperti Facebook dan YouTube. Disebabkan itu, cara pengurusan rangkaian jalur lebar di Celcom turut berubah.

"Kita juga menerima impak tidak langsung apabila pelanggan tidak mampu untuk membayar perkhidmatan dan sebahagian mereka merupakan dalam kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas teruk akibat Covid-19,” katanya.

Bagaimanapun, Idham berkata, di sebalik kesukaran itu, berlaku perkembangan positif apabila rata-rata usahawan PKS sudah beralih daripada perniagaan fizikal, kepada dalam talian dan dalam situasi ini industri telekomunikasi memainkan peranan yang sangat penting.

Beliau berkata, pihaknya berdepan pelbagai cabaran sukar akibat pandemik Covid-19, malah terpaksa berdepan kerenah pelanggan seluruh negara yang sentiasa mahukan perkhidmatan rangkaian jalur lebar mudah alih terbaik tetapi pada harga rendah.

Jelasnya, pengguna rangkaian Celcom kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah, pertengahan dan golongan luar bandar.

Perkhidmatan terbaik

"Mereka sendiri ada keperluan jadi kita harus memberikan perkhidmatan yang terbaik pada harga berpatutan dan mampu milik kepada semua orang. Itu dilema kita. Jadi untuk memastikan semua perkhidmatan kita berjalan dengan baik di seluruh negara,

"Celcom perlu bijak dalam menyeimbangkan wang yang perlu dilaburkan dan pada masa sama memastikan perkhidmatan diberi pada harga berpatutan,” katanya.

Menurutnya, banyak penambahbaikan perlu dilakukan termasuk tampil dengan produk yang lebih inovatif dan mengurangkan kos tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan rangkaian Celcom.

Mengulas mengenai pelan tindakan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini, Idham berkata, ia merupakan program yang menggabungkan kerjasama antara kementerian, agensi-agensi berkaitan dan penyedia perkhidmatan komunikasi utama untuk membangunkan sebuah pelan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan baharu rakyat.

Beliau berkata, tumpuan diberikan kepada penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi liputan jalur lebar mudah alih 5G secara mantap.

Perluas liputan

Menurutnya, objektif utama adalah bagaimana untuk pembekal perkhidmatan memperluaskan liputan 4G ke seluruh pelosok negara terutamanya ke Sabah dan Sarawak dengan lebih cepat.

"Di Semenanjung Malaysia, rangkaian LTE Celcom kini meliputi lebih 96 peratus tetapi di Sabah dan Sarawak agak perlahan kerana lokasi terpencil namun kita akan percepatkan perkara ini agar pengguna di sana juga dapat menikmati perkhidmatan yang lebih menyeluruh.

"Objektif seterusnya ialah memperbaiki dan menyediakan capaian kepada gentian optik ke premis memandangkan rumah kini menjadi pusat tumpuan segala aktiviti dan bagaimana untuk mempertingkatkan lagi kualiti liputan itu agar pengguna dapat merasai Kualiti Pengalaman yang sebenar,” katanya.

Tambahnya, peralihan ke teknologi 5G dijangka boleh dilaksanakan pada pertengahan atau hujung tahun depan.

"Di Celcom kami sebenarnya sudah berjinak-jinak dengan 5G, malah telah berkolaboratif dengan beberapa agensi seperti Polis Diraja Malaysia dan Langkawi Port di Langkawi, dan turut memberi sokongan kepada syarikat seperti Petronas dan syarikat hartanah bagi membuat percubaan ke atas teknologi 5G sejak 2017.

"Projek-projek itu masih berjalan dan alhamdulillah sambutannya amat menggalakkan. Saya yakin bila tiba masanya kami di Celcom sudah benar-benar bersedia ke arah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan 5G di negara ini perlu dilakukan pada masa yang tepat agar Malaysia tidak terkebelakang berbanding negara-negara lain.

"Peralihan kepada 5G hanyalah satu evolusi iaitu ke tahap teknologi seterusnya selepas 4G dan saya percaya pelbagai inovasi baharu akan diperoleh daripada teknologi tersebut nanti,” katanya.