Eksesais Helang Laut fokus aset kesiapsiagaan APMM

Iklan
Sebahagian aset laut yang digunakan dalam Eksesais Helang Laut di perairan Selat Melaka.

MELAKA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memberi perhatian terhadap kesiapsiagaan aset, pegawai dan anggota dengan melancarkan Eksesais Helang Laut di perairan Selat Melaka.

Langkah ini bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dalam pelbagai kes dan jenayah termasuk ancaman kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) secara tidak sah melalui Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) berada pada tahap optimum.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah APMM, Laksamana Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, eksesais itu bertujuan menilai dan meningkatkan lagi kecekapan tatacara pengendalian prosedur operasi standard (SOP) melibatkan 'Rule of Use of Force' (RUF) yang dilaksanakan pegawai dan anggota Maritim Malaysia sentiasa berada di tahap yang terbaik di lapangan terutama ketika melakukan penguatkuasaan mahupun operasi mencari dan menyelamat.

Aset udara yang digunakan bagi memantapkan prosedur pengendalian helikopter untuk pendaratan di atas dek kapal KM Pekan oleh kru pesawat dan kru kapal dalam Eksesais Helang Laut di perairan Selat Melaka.

Menurutnya, SOP latihan yang dijalankan turut meliputi prosedur pengendalian helikopter untuk pendaratan di atas dek kapal KM Pekan oleh kru pesawat dan kru kapal, tatacara ‘fast roping’ oleh anggota-anggota STAR Team, pengendalian boarding atau penggeledahan anggota kapal dan bot serta latihan rutin bagi meningkatkan kemahiran dan kelancaran komunikasi antara aset-aset yang terlibat dalam eksesais berkenaan.

Iklan

"Eksesais juga melibatkan pelbagai aset laut dan udara antaranya KM Pekan, KM Gagah, KM Kota Kinabalu, KM Bagan Datuk, Bot Kilat, Bot Benteng, jet ski, helikopter AW139 dan AS 365 N3 serta pesawat Bombardier CL415MP," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, seramai 150 pegawai dan anggota APMM yang lain terlibat dalam eksesais termasuk ketua pengarah serta barisan pengurusan tertinggi APMM.

Iklan
Sebahagian pegawai dan anggota APMM yang menyertai Eksesais Helang Laut di perairan Selat Melaka.

"Dalam eksesais ini translasi komitmen dan sokongan APMM adalah penting dalam mendukung usaha kerajaan bagi mencegah potensi kluster baharu koronavirus (Covid-19) dari luar negara yang cuba memasuki Malaysia secara haram serta mampu mengugat keselamatan rakyat dan negara," katanya lagi.

Dalam pada itu, APMM telah melakukan sebanyak 78 tangkapan individu atas pelbagai kesalahan menerusi Op Benteng sejak Mei hingga September lalu dengan nilai rampasan lebih RM37 juta.