'SPRM tidak layan surat layang kecuali dilengkapi dokumen kukuh'

Iklan
AZAM BAKI

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi menerima surat layang kes rasuah atau salah guna kuasa melainkan ia dilengkapi dengan dokumen maklumat lengkap dan kukuh untuk menjalankan siasatan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, sebuah jawatankuasa khas dalam SPRM akan bersidang setiap hari kecuali pada Sabtu dan Ahad, bagi menilai kesahihan sesuatu maklumat kes.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, SPRM tidak mahu terjadi mana-mana individu atau pihak yang teraniaya berikutan surat layang yang dihantar kepada badan rasuah itu.

"Oleh itu, saya ingin menguar-uarkan kepada masyarakat bahawa mereka yang memberi maklumat kes, SPRM memberi jaminan identiti mereka dirahsiakan dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya sempena Ulang Tahun SPRM ke-53 hari ini.

Iklan

Azam berkata, sekiranya masyarakat menyampaikan surat layang kepada SPRM sekalipun, pihaknya akan meneliti terlebih dahulu untuk memeriksa kandungan surat berkenaan.

"Saya beri contoh, SPRM terima surat layang tetapi dalam surat itu terkandung dokumen lengkap maka SPRM akan membuat verifikasi bahawa sesuatu maklumat berkenaan boleh diguna pakai dan dipercayai sebelum menjalankan sebarang siasatan kes.

Iklan

"Sekiranya sekadar surat layang sahaja untuk menuduh seseorang, maka surat jenis ini kami tidak layan dan jika ia disertai nama atau e-mel, barulah pihak kami akan memberi maklum balas,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sebelum ini banyak menerima surat layang tetapi kebanyakannya tidak mempunyai asas kukuh untuk menjalankan siasatan.

Dalam perkembangan lain, diminta mengulas mengenai sama ada SPRM boleh mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri yang melompat parti, Azam berkata, setakat ini pihaknya tiada peruntukan undang-undang yang melarang mana-mana ahli politik melompat parti.

"Perkara berkenaan di luar bidang kuasa SPRM, sekiranya perlu mewujudkan undang-undang berkaitan lompat parti ia adalah tertakluk kepada Ahli-ahli Parlimen untuk menggubal undang-undang berkaitan.

"Sekiranya, terdapat unsur rasuah (ahli politik dibayar untuk melompat parti) maka SPRM akan melakukan siasatan,” katanya.

Azam berkata, setakat ini, tidak ada bukti berhubung perkara berkenaan namun terdapat kes pihak yang memberikan maklumat tetapi enggan memberikan kerjasama.

Sementara itu, mengulas mengenai sama ada bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya pernah menggubal sebarang dasar sedia ada SPRM sewaktu beliau menjawat jawatan berkenaan, beliau berkata, Latheefa tidak pernah berbuat demikian.

"Dasar-dasar SPRM masih diteruskan seperti biasa yang berbeza cuma gaya pentadbiran namun dasar tetap sama.

"Sebagai contoh pelaksanaan Pelan Strategik SPRM 2017-2020 tetap diteruskan, begitu juga dengan misi dan visi yang ditetapkan SPRM diteruskan oleh Latheefa dan saya sekarang ini,” katanya yang turut mewakili warga SPRM mengucapkan terima kasih kepada Latheefa yang telah banyak menyumbang kepada negara dalam aspek membanteras rasuah, meskipun berkhidmat dalam tempoh yang singkat. - Bernama