JKM bangunkan RUU Warga Emas

Iklan
Zulkifli Ismail

PUTRAJAYA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil langkah proaktif melakukan pelbagai persediaan termasuk membangunkan Rang Undang-Undang Warga Emas bagi memastikan kesejahteraan golongan itu terjamin kerana Malaysia akan menjadi ‘negara tua’ menjelang tahun 2030.

Ketua Pengarahnya, Zulkifli Ismail berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan Malaysia akan menjadi negara menua dalam masa tidak sampai 10 tahun lagi susulan populasi warga emas yang mencapai angka 15 peratus.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ketika ini populasi warga emas di negara ini adalah kira-kira 9.8 peratus dan jumlah itu dijangka terus meningkat setiap tahun.

"Sebab itulah Malaysia membuat persediaan ke arah menghadapi negara penuaan dengan pelaksanaan pelbagai program dan pendekatan perlindungan serta pemulihan selaras dengan deklarasi antarabangsa berkaitan warga emas,” katanya ketika temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di sini Isnin lalu.

Iklan

Zulkifli berkata, setakat ini negara belum mempunyai akta walaupun mempunyai dasar berkaitan warga emas iaitu Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara.

Beliau berkata, apa yang unik tentang RUU Warga Emas itu berbanding RUU lain adalah ia dicadangkan selepas kajian menyeluruh dilakukan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bersama Universiti Malaya (UM).

Iklan

Katanya, draf RUU itu dijangka siap pada Jun 2021 yang mencakupi semua keperluan warga emas dan relevan untuk jangka masa panjang.

Peruntukan

Zulkifli berkata, sebagai persediaan ke arah negara tua, JKM turut menjadikan negara Jepun, Thailand dan Korea untuk dicontohi dari segi pelaksanaan program-programnya.

Bagi Malaysia, pelbagai inisiatif dan persediaan telah dilaksanakan merangkumi bantuan khusus secara bulanan iaitu Bantuan Orang Tua yang mana sehingga kini sejumlah RM335 juta telah disalurkan kepada seramai 135,193 warga emas di seluruh negara.

"Bantuan ini mula diperkenalkan sejak tahun 1946 dan dari tahun ke tahun kerajaan telah menaikkan jumlah bantuan tersebut seiring dengan keperluan kehidupan warga emas.

"Kalau dulu kita bayar sebanyak RM200 sebulan dan kemudian kita naikkan kepada RM250, diikuti RM300 dan yang terkini sebanyak RM350 sebulan. Tapi kalau kita tengok dengan keadaan sekarang ini mungkin jumlah RM350 itu tidak mencukupi, tambahan pula laporan kajian Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkaitan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang telah meningkat kepada RM2,208 sebulan selain pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa bantuan mungkin akan naik sebanyak RM1,000 sebulan.

"Itu pun salah satu perkara yang mungkin akan dipertimbangkan dan kerajaan masih di peringkat kajian dengan Kementerian Kewangan,” katanya.

Sementara itu, katanya, JKM turut memberi perlindungan dan penjagaan kepada warga emas menerusi 17 buah institusinya yang menempatkan kira-kira 3,000 penghuni seluruh negara.

Jelasnya, institusi itu terdiri daripada 10 buah Rumah Seri Kenangan (RSK), dua buah Rumah Ehsan dan lima buah Desa Bina Diri.

Zulkifli berkata, pihaknya juga menyediakan perkhidmatan alternatif yang dipanggil Respite Care di institusi di bawah jabatan itu bagi membantu waris atau penjaga untuk menempatkan warga emas jagaan mereka secara sementara.

"Mungkin penjaganya ada urusan di luar negara atau urusan dalam tempoh jangka masa pendek, jadi warga emas jagaan mereka boleh ditempatkan di institusi kita.

"Dari segi keperluan kepada warga emas itu, kita sediakan sama seperti warga emas penghuni institusi kita seperti makan minum dan penjagaan rawatan.

"Setakat ini, kita buka Respite Care di RSK Cheras tetapi kalau ada permintaan kita akan perluaskan kepada semua RSK yang ada di seluruh negara,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, JKM melaksanakan program dalam komuniti kepada warga emas seiring dengan usaha memperkasakan komuniti agar bertanggungjawab menjaga dan memberi perkhidmatan kepada warga emas.

Katanya, JKM mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang kini berjumlah 132 buah di seluruh negara untuk membolehkan warga emas mendapat pendampingan sosial dalam komuniti.

Zulkifli berkata, PAWE disasarkan kepada warga emas yang masih sihat dan aktif serta boleh menyertai aktiviti dan program yang dianjurkan di setiap PAWE berdasarkan keperluan warga emas mengikut kawasan.

Menurutnya, JKM mahu mencapai sasaran yang diletakkan iaitu ‘1 PAWE 1‘ Parlimen pada masa akan datang.

Katanya, penularan pandemik koronavirus (Covid-19) ketika ini turut menuntut aktiviti di PAWE diadakan dalam keadaan norma baharu apatah lagi golongan warga emas merupakan berisiko tinggi mendapat jangkitan wabak itu.

"Kalau ikut perancangan setiap PAWE akan mengadakan sebanyak 150 program setahun. Namun akibat Covid-19, semua PAWE kita tutup sebelum kembali dibuka secara berperingkat pada 1 September lalu tapi kena mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Bantuan

Zulkifli berkata, JKM turut melaksanakan program dalam komuniti Home Help Programme atau Program Khidmat Bakti di Rumah sejak tahun 2014 yang menyasarkan warga emas tinggal sendirian dalam komuniti, tiada waris dan penjaga serta tidak mampu mengurus diri kerana faktor kesihatan.

"Program ini lebih kepada kita bekerjasama dengan sukarelawan JKM untuk membantu warga emas dalam komuniti. Satu sukarelawan kita sasarkan ambil empat klien sama ada warga emas atau orang kurang upaya (OKU) dan mereka akan memberi perkhidmatan seminggu sekali.

"Sehingga kini seramai 9,929 klien telah diberi perkhidmatan oleh Home Help Programme. Daripada jumlah itu, 7,886 adalah warga emas dan 2,043 adalah OKU,” katanya.

Selain itu, katanya, pihaknya juga sedang menyediakan satu platform untuk mengumpul data dan maklumat warga emas di seluruh negara untuk merancang program bersesuaian untuk masa depan mereka.

Beliau berkata, walaupun Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah membuat bancian berkaitan warga emas tetapi bancian dilakukan JKM lebih terperinci serta mengambil kira adakah warga emas itu penerima bantuan, pesara atau sebagainya.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli menjelaskan, kerajaan ketika ini sedang melaksanakan projek perintis Age-Friendly City sebagai persediaan menghadapi negara penuaan.

"Ia merupakan satu bentuk kerjasama yang dijalankan oleh kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) menerusi projek bertajuk ‘Preparation Towards An Aged 2030’.

"Ia juga merupakan satu program di bawah ‘Country Programme Action Plan’ (CPAP) 2019-2020. Komponen projek ini sekarang lebih menekankan kepada pembangunan Age-Friendly City di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, bandar yang dipilih untuk melaksanakan projek rintis itu adalah di Taiping, Perak kerana populasinya ramai terdiri daripada warga emas dalam kalangan pesara kerajaan.

Sementara itu, Zulkifli memaklumkan, Sambutan Hari Warga Emas tahun ini yang akan diadakan pada 1 Oktober cukup berbeza.

"Pada tahun ini kita meraikannya dalam suasana pandemik koronavirus (Covid-19). Pandemik ini telah membawa perubahan kepada norma baharu manusia sejagat secara keseluruhannya.

"Justeru, PBB menetapkan tema Hari Warga Emas Antarabangsa Tahun 2020 adalah berkaitan pandemik iaitu"Pandemics: Do They Change How We Address Age and Ageing?’.

"Ia selari dengan tema di peringkat antarabangsa dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga bersetuju memilih tema sambutan kita pada tahun ini iaitu ‘Pandemik dan Penuaan: Mendepani Perubahan’,” katanya.

Sambutan itu akan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Putrajaya selain turut diraikan secara serentak di seluruh institusi JKM termasuk di PAWE.

Antara program yang akan diadakan ialah seminar, town hall dan ceramah perdana yang turut dijangka disiarkan secara langsung menerusi Facebook JKM.