SHAH ALAM - Strategi dan kerjasama politik yang dimeterai UMNO tidak menguntungkan parti itu, malah semakin memencilkan peranannya di Sabah berdasarkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, daripada sebuah parti menguasai Sabah selama 27 tahun, UMNO kini hanya pemain politik terpencil dalam gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Sehubungan itu, beliau berpandangan apa yang berlaku di Sabah memerlukan UMNO untuk memikirkan semula pendekatan politiknya.
"Jika Sabah dijadikan sandaran, kelangsungan, pengaruh dan keterlihatan, UMNO akan terus terjejas dalam jangka masa pendek dan akhirnya melemahkan parti itu dalam jangka waktu panjang.
"Pengorbanan UMNO memberikan kerusi terkuatnya kepada parti tertentu telah menjejaskan kekuatannya secara signifikan.
"Lebih menyedihkan, UMNO terpaksa berhadapan calon Bebas ditaja pihak berkepentingan untuk melemahkan UMNO. Janji yang dimeterai berkaitan potfolio Kabinet pun hampir dimungkiri," katanya di laman Facebooknya hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, UMNO tidak boleh membiarkan episod PRN Sabah menjadikan kedudukan parti itu seperti kata pepatah, ‘biar alah sabung, asal menang sorak’.
"Justeru, telah tiba masanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberikan pedoman dan hala tuju jelas kepada parti dan semua ahlinya tentang bagaimana UMNO harus meneruskan kerjasama dengan saingan politik parti itu," katanya.
Beliau berpandangan, satu konsensus politik yang tegas harus dihasilkan untuk meredakan keresahan, ketidakpuasan hati dan rasa marah ahli terhadap cara UMNO diperlakukan dalam PRN Sabah.
Menurutnya, demi menuju masa depan, UMNO mesti berhenti bernostalgia bahawa kerjasama politik melalui 'Langkah Sheraton' demi menyelamatkan negara malah episod itu telah berakhir.
"Episod seterusnya ialah bagaimana UMNO akan mengemudi negara ini, memberikan kepimpinan kepadanya dan mencipta masa depan Malaysia yang lebih baik melalui BN dan bukannya platform politik lain.
"Kita akan dinilai dengan apa yang boleh kita tawarkan kepada Malaysia. Bukan betapa besarnya pengorbanan kita untuk parti tertentu atau kelangsungan Perikatan Nasional," katanya.
Katanya, jika UMNO terpaksa bersendiri bersama Pas dalam Muafakat Nasional dan Barisan Nasional (BN) serta parti komponennya dalam menghadapai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), maka ia perlu diputuskan segera, agar parti itu dapat menyediakan diri.
"Marilah kita mulai saat ini, mengembalikan UMNO ke landasan sebenarnya. Kusut di hujung, balik lah ke pangkal.
"Marilah kita bekerja bersungguh-sungguh, membangunkan semula UMNO agar ia menjadi wadah yang dipercayai dan di dukung oleh bangsa Melayu dan rakyat Malaysia," katanya.