Rekod sejarah lengkap bantu pertahan kedaulatan negara: Sultan Nazrin

Iklan
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melihat bahan arkib yang dipamerkan di galeri selepas baginda merasmikan bangunan Arkib Negara Malaysia negeri Perak di Meru, di sini, hari ini. -Foto Bernama

IPOH - Rekod sejarah yang lengkap berperanan amat penting untuk membantu negara mempertahankan kedaulatan dan wilayah persempadanan, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah baginda, kehilangan bahan arkib sesuatu yang amat merugikan menyamai kehilangan memori seseorang manusia dan kehilangan yang tiada ganti.

Iklan
Iklan

Baginda bertitah, kejayaan Malaysia memenangi kes tuntutan Pulau Sipadan-Ligitan pada tahun 2002 disebabkan negara memiliki bukti bahan arkib yang kukuh.

Menurut baginda, kegagalan mempertahankan hak milik tuntutan Pulau Batu Putih pada tahun 2008 disebabkan kekurangan bahan arkib sebagai sumber utama dalam pembuktian kes.

Iklan

"Sejarah berperanan menghubung masa lampau dengan masa kini dan sejarah wajar dijadikan kompas ketika melayari perjalanan menuju masa hadapan. Oleh itu merakam, mencatat, merekodkan dan menyimpan bahan sejarah secara tepat adalah kewajipan yang tidak boleh dikompromikan.

"Perbuatan mengubah fakta sejarah ialah perbuatan tidak adil, satu perlakuan jenayah intelek, satu perbuatan jenayah keilmuan, yang menafikan hak generasi terkemudian memperoleh fakta sebenar," titah baginda ketika menyempurnakan Perasmian Bangunan Arkib Negara Malaysia Negeri Perak di Bandar Meru Raya di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, Exco Perumahan, Kerajaan dan Pelancongan Perak, Nolee Ashilin Mohammed Radzi, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Azemi Abdul Aziz.

Sultan Nazrin bertitah, arkib ialah tempat menyimpan naskhah-naskhah, rekod umum dan dokumen-dokumen sejarah sesebuah negara yang berperanan sebagai pusat sumber rujukan.

Jelas baginda, bahan-bahan yang disimpan di dalam arkib mempunyai ciri-ciri kesahihan, keandalan, keutuhan dan kebolehgunaan meletakkan status bahan-bahan tersebut sebagai bahan bukti yang dapat dipertahankan ketepatan dan kebenarannya.

Baginda bertitah, arkib kini tidak lagi berperanan sekadar mengumpul dan menyimpan bahan-bahan secara pasif tetapi beralih peranan sebagai pemboleh akses iaitu daripada penyimpan rekod kepada pembekal maklumat yang berusaha untuk menghidupkan minat dan mencetuskan keghairahan masyarakat terhadap sejarah.

"Kini data berperanan semakin penting dalam kehidupan insan. Dunia pada abad ke-21 sedang melalui era memperoleh maklumat dalam talian dengan kandungan maklumat dan bilangan pelanggan yang semakin meningkat.

"Dokumen semakin berbentuk elektronik, rekod semakin bersifat sejagat, membolehkan dan dibolehkan untuk diakses oleh warga dunia. Tugas arkivis kini bertambah kompleks, semakin mencabar untuk memenuhi permintaan para penyelidik yang memerlukan maklumat secara mudah, tepat dan cepat," titah baginda.

Titah Sultan Nazrin, kekuatan dan relevansi sesebuah organisasi bergantung pada kesediaan melakukan penghijrahan minda untuk menyesuaikan diri dengan dunia yang terus berubah.

Menurut baginda, keperluan perkhidmatan baharu hendaklah dipadankan dengan prasarana perkhidmatan yang baharu selain kesediaan arkivis berhijrah menerokai budaya kerja baharu.

"Sumber manusia yang lebih profesional serta dana yang lebih tinggi diperlukan demi memastikan arkib tidak berakhir menerima nasib sebagai kawasan perkuburan terbiar yang terpinggir sunyi dan profesion arkivis tidak menerima nasib dinosaur yang pupus ditelan zaman, kerana ditinggalkan oleh teknologi elektronik yang begitu pesat berkembang.

"Perkembangan persekitaran yang berlaku tidak harus ditafsirkan sebagai ancaman, di sebaliknya hendaklah dilihat sebagai hamparan peluang baharu yang menyuntik dimensi lebih dinamik kepada profesion para arkivis," titah baginda.

Sementara itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada ketua pengarah dan kakitangan Arkib Negara yang membekalkan pelbagai bahan serta maklumat dalam membantu kerja-kerja penyelidikan baginda ketika menghasilkan buku sebelum ini.