Mangsa tembakan kejam dapat ganti rugi RM3.3 bilion

Iklan
Stephen Paddock. - Foto AFP

LOS ANGELES - Sebuah mahkamah di Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan satu tuntutan penyelesaian sebanyak AS$800 juta (RM3.3 bilion) kepada mangsa-mangsa dalam kejadian tembakan paling buruk di negara itu.

Dalam kejadian yang berlaku pada tahun Oktober 2017 itu, seramai 58 orang terkorban dan lebih 800 lagi cedera di Las Vegas.

Iklan
Iklan

Seorang lelaki, Stephen Paddock melepaskan lebih daripada 1,000 tembakan dengan menggunakan selaras raifal daripada tingkat 32 di Mandalay Bay Resort dan Kasino ke arah sebahagian pengunjung sebuah festival muzik irama country.

Syarikat MGM Resorts International iaitu pemilik kasino itu akan membayar sebanyak AS$49 juta (RM203.35 juta) daripada dananya manakala bakinya datang daripada pihak insurans, kata arahan mahkamah tersebut.

Iklan

"Ia adalah sesuatu yang bermakna kerana keputusan tersebut datang sehari sebelum ulang tahun ketiga kejadian itu, satu detik kesedihan yang amat sangat," kata MGM dalam satu kenyataan kepada AFP semalam.

Sebelum ini MGM disaman atas dakwaan melakukan kecuaian kerana membenarkan Paddock untuk menyimpan sejumlah senjata api dan peluru di dalam hotelnya tanpa pemberitahuan kepada pihak pengurusan.

Iklan
Gambar fail menunjukkan lokasi kejadian tembakan Stephen Paddock yang menyebabkan 58 orang terbunuh dan lebih 800 lagi cedera di Las Vegas pada Oktober 2017. - Foto AFP

Sebanyak 24 senjata api ditemui di dalam bilik hotel lelaki tersebut termasuk raifal 10 AR-15 semi automatik kebanyakannya dilengkapi dengan 100 kelopak peluru.

Pada tahun 2018, MGM Resorts melancarkan saman balas dengan sasaran untuk memaksa pihak plaintif menggugurkan saman mereka itu.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada pukul 10 malam apabila Paddock melepaskan tembakan ke arah 22,000 penonton yang sedang menyaksikan persembahan nyanyian Jason Aldean.

Dia kemudian membunuh dirinya sendiri.

Pada Ogos 2018, pihak berkuasa menamatkan siasatan tanpa mengetahui motif sebenar Paddock yang berusia 64 tahun dan seorang jutawan itu melakukan tembakan tersebut.

Paddock dikenali sebagai seorang penjudi tegar dan telah kehilangan banyak wang akibat kegiatan perjudian, menurut laporan polis Las Vegas. - AFP