KUANTAN - Kerajaan Selangor diminta terus mengekalkan Hutan Simpan Kekal Kuala Langat Utara bagi memastikan kelestarian alam di negeri itu terus terpelihara, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, status hutan simpan itu perlu dipertahan kerana ia bukan sekadar berperanan dalam pemuliharaan flora dan fauna tetapi yang lebih penting, bertindak sebagai kawasan tadahan air.
"Kawasan yang sudah diwartakan sebolehnya jangan dikeluarkan walaupun mungkin kerajaan negeri melihat ada keperluan ekonomi. Kita tidak boleh mengelak daripada pembangunan, namun implikasi masa depan harus menjadi keutamaan.
"... yang sudah diwartakan sebaiknya kita pertahankan malah kita sangat hargai jika ada negeri lain dapat mewartakan hutan simpan yang secara tidak langsung menambah kawasan tadahan air dan memelihara alam sekitar," katanya.
Tuan Ibrahim berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Inovasi Jabatan Pengairan dan Saliran 2020 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini yang turut dihadiri Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali dan Pengarah Negeri Ir Mohd Noor Bidin.
Beliau mengulas tindakan Kerajaan Selangor melakukan sesi pendengaran awam bagi cadangan pemansuhan kawasan Hutan Simpan Kuala Langat Utara, Mukim Tanjung Dua Belas, Kuala Langat membabitkan keluasan 1,971 hektar pada Selasa lepas, yang mendapat bantahan banyak pihak.