Pengulas sukan veteran RTM, Zulkarnain Hassan meninggal dunia

Iklan
Zulkarnain Hassan

PETALING JAYA - Penerbit dan pengulas sukan veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM), Zulkarnain Hassan, meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), di sini pagi tadi.

Mengesahkan perkhabaran sedih itu, anak sulung beliau Zurina Zulkarnain, 54, berkata, ayahnya yang berusia 82 tahun meninggalkan seorang balu, Sabariah Ibrahim, 79, dan dua anak iaitu dirinya dan adik lelakinya Azmi Rizal Zulkarnain, 52.

Iklan
Iklan

Katanya, Allahyarham menghidap penyakit jantung dan menggunakan tongkat untuk bergerak sejak tiga tahun lalu itu, mengadu sakit dada ketika berada di rumahnya di SS5, Kelana Jaya, di sini pada awal pagi Sabtu lalu.

"Kami ajak beliau ke hospital namun pada mulanya beliau tak setuju. Kami akhirnya berjaya memujuk beliau dan kami bawa beliau ke PPUM kira-kira jam 2.30 pagi.

Iklan

"Beliau kemudian ditempatkan di zon merah dan selepas dua hari, beliau ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU) sehingga beliau meninggal dunia,” katanya kepada pemberita di Masjid Al-Hidayah, Kelana Jaya.

Berkongsi detik akhir Allahyarham, Zurina berkata, bapanya mengalami pendarahan dan serangan jantung namun pada dua hari lalu, keadaan Allahyarham stabil sebelum demam pada semalam dan meninggal dunia 11.30 pagi ini.

Iklan

Zurina berkata, ayahnya itu adalah antara kumpulan pertama yang bertugas di RTM, iaitu sebagai penyampai Radio Malaya pada ketika itu iaitu sekitar 1959.

Katanya, Allahyarham yang memegang jawatan terakhir sebagai Ketua Bahagian Sukan Radio RTM bersara sekitar 1993 dan sejak itu tinggal di kediamannya di Kelana Jaya bersama isteri, anak dan cucunya.

Jenazah disolatkan di Masjid Al-Hidayah dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, Selangor. - Bernama