Covid-19: Pemain industri pelancongan perlu perketat SOP

Iklan
Nancy (dua kiri) melihat rangka Perak Man yang disimpan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong sempena lawatan kerjanya hari ini.

LENGGONG - Pemain industri pelancongan perlu memperketat prosedur operasi standard (SOP) di kawasan masing-masing bagi menjamin keselamatan pengunjung susulan peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, penularan wabak itu yang memperlihatkan semua negeri mencatatkan kes baharu menyebabkan orang ramai takut untuk bergerak dan berkunjung ke lokasi tumpuan.

Iklan
Iklan

Justeru menurutnya, dengan pematuhan SOP yang ketat akan dapat meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa lokasi yang dikunjungi itu terjamin dari segi kebersihan dan keselamatan.

"Kalau tempat kita bertambah kes positifnya (Covid-19), maka agak menakutkan orang untuk bergerak dari satu tempat ke tempat lain.

Iklan

"Jadi saya mengharapkan semua pihak terutama pemain-pemain industri pelancongan ini dapat memperkasakan diri, pastikan SOP sedia ada dipatuhi dengan baik.

"Pastikan untuk masuk ke satu-satu tempat itu mesti ada imbasan QR kod, suhu badan diperiksa dan cecair pembasmi kuman disediakan, semua tempat perlu patuhi dan jadikan ia satu amalan biasa," katanya ketika ditemui sempena lawatan kerja ke Tapak Warisan Dunia Arkeologi Lembah Lenggong di sini hari ini.

Iklan

Hadir sama, Ketua Setiausaha Motac, Datuk Dr Noor Zari Hamat dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Nancy berkata, kementeriannya memandang serius peningkatan kes Covid-19 di negara ini kerana ia bakal menjadi satu petanda tidak baik kepada ekonomi negara.

Katanya, walaupun sebahagian negeri hanya mencatatkan kes sedikit, ia tetap menunjukkan satu indikasi yang tidak sihat kepada perkembangan pelancongan domestik.

"Kita mahu ekonomi negara berkembang, jadi kenalah sama-sama pastikan kita jaga kita, sentiasa mengingati antara satu sama lain untuk pelihara diri dengan aspek kebersihan dan keselamatan," katanya.

Nancy (dua, kanan) melihat demonstrasi seramik bunga tampal yang dipamerkan sempena lawatan kerjanya ke Tapak Warisan Dunia Arkeologi Lembah Lenggong hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, Motac akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Perak melaksanakan pelbagai inisiatif dan pembangunan di Tapak Warisan Dunia Arkeologi Lembah Lenggong.

Menurutnya, ia termasuk usaha memodenkan kawasan itu agar lebih menarik minat orang ramai berkunjung serta dapat mempromosikan produk-produk tempatan seperti makanan dan kraftangan ke peringkat lebih tinggi.

"Lagipun Lembah Lenggong ini satu projek di bawah Jabatan Warisan Negara yang dikenal pasti oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

"Sebab itu ia menjadi tanggungjawab kementerian untuk pastikan produk ini menjadi lebih menarik, dapat meramaikan lagi pelancong datang dan secara tidak langsung memberi impak ekonomi setempat," katanya.