KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili menahan dua nelayan sedang khayal dadah di dalam sebuah bot gentian kaca kira-kira 0.6 nautika barat Sungai Rengit di sini semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (Swasla) mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan disyaki dari perairan Indonesia menuju ke perairan Sungai Rengit.
"Bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam Op Benteng Laut 1/2020 segera memintas bot tersebut pada jam 10.10 malam.
"Pemeriksaan lanjut kedua-dua suspek lelaki yang berumur 44 dan 42 tahun seperti berada dalam pengaruh dadah. Ujian air kencing terhadap mereka mendapati positif dadah jenis methamphetamine serta amphetamine," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, semasa serbuan tersebut kedua-dua suspek sempat membuang barang-barang bukti ke laut selepas menyedari kehadiran APMM.
"Dua lelaki tersebut bersama bot gentian kaca dinaiki ditahan.
"Kes tersebut kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada orang ramai terutama komuniti maritim supaya tidak menjadi tali barut atau pengkhianat negara dengan melakukan sebarang pelanggaran undang-undang khususnya dalam aktiviti penyeludupan migran.
Tegasnya, tindakan akan diambil tanpa kompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dengan kegiatan tersebut.
"APMM sentiasa mempertingkatkan kawalan keselamatan terutama menerusi Op Benteng Laut 1/20 yang diaktifkan Mei lalu,
"Operasi itu khusus untuk mengawal dan menyekat sempadan negara bagi mengekang kemasukan migran selain membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19)," katanya.