Apa nasib Felda United?

Iklan
IMBAS KEMBALI....Khai bersama komrad D'Felmania tulang belakang dalam membarakan semangat pemain Felda United dalam setiap perlawanan Liga-M.

"INILAH yang berlaku apabila golongan tidak passionate terhadap sukan nombor satu negara diberikan tanggungjawab membuat sesuatu keputusan penting.”

Itu respons pengasas D’Felmania, Khairul Salam ketika diminta mengulas mengenai status pelesenan dan penswastaan kelab Felda United yang masih tergantung selepas tarikh akhir bagi melengkapkan segala dokumentasi berkaitan tamat secara rasminya kelmarin.

Iklan
Iklan

Menurut Khairul yang lebih dikenali sebagai Khai Silas dalam kalangan komuniti bola sepak tempatan, situasi yang berlaku itu secara tidak langsung ‘membunuh’ semangat The Fighters yang berjuang demi mengangkat maruah kelab ke peringkat tertinggi di pentas Liga Malaysia (Liga-M) sejak beberapa musim lalu.

"Saya harus akui apa yang berlaku ini secara tidak langsung menjejaskan motivasi dalam kalangan pemain-pemain yang sedang berjuang demi maruah kelab dalam saingan Liga-M.

Iklan

"Sebagai antara penyokong setia Felda United yang bersama skuad The Fighters dalam mengharungi jatuh bangun kelab ini sejak tahun 2011 lagi, saya harus katakan bahawa situasi yang sedang melanda kelab ini begitu mengecewakan.

"Sejujurnya perkara sebeginilah yang amat mengecewakan para penyokong setia di peringkat akar umbi yang selama ini meletakkan lencana Felda United di dada mereka.

Iklan

"Adalah sesuatu yang amat malang apabila pelbagai sejarah bola sepak yang dicipta serta usaha gigih dan komitmen padu pemain serta barisan kejurulatihan Felda United selama ini berakhir dengan penurunan pangkat ke Liga M3 disebabkan masalah pengurusan tertinggi.

"Ya mungkin Felda United boleh beraksi dalam Liga M3, namun tidakkah itu mensia-siakan kudrat para pemain, jurulatih dan pengurusan sebelum ini yang sehabis baik meletakkan Felda United pada landasan terbaik sehingga menjadi kebanggaan warga Felda selama ini,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Pada masa sama, Khai berharap pihak pengurusan tertinggi kelab itu dapat melihat semula perkara tersebut bagi tempoh jangka panjang demi kesinambungan dan masa depan komuniti bola sepak Felda United.

"Apabila kita penyokong setia Felda United yang berbangga menjadi antara kelab Liga-M memiliki stadium sendiri dan secara tiba-tiba dihumban ke Liga M3 hanya disebabkan status penswastaan masih tergantung, tidakkah ia memalukan,” tegasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua masih dalam proses penelitian dokumen

Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Firdaus Mohamed sebelum ini dilaporkan berkata, Felda United adalah antara dua pasukan yang masih dalam proses saringan dokumentasi selain UKM FC.

"Felda United tidak mendapat kebenaran Lembaga Pengarah Felda kerana mereka menggunakan nama Felda dan bukannya kebenaran daripada pengurusan pasukan Felda. Itu yang sedang kita tunggu,” jelas Mohd Firdaus.