ASB pilihan pelaburan terbaik

Iklan
Mohamad ketika wawancara khas bersama Sinar Harian di Menara PNB, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - Menginjak usia 30 tahun, banyak perubahan yang dialami Amanah Saham Bumiputera (ASB) selepas mula diperkenalkan pada 2 Januari 1990 bagi menggantikan skim Amanah Saham Nasional (ASN).

Malah, pencapaian ASB yang diuruskan oleh Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) juga cukup membanggakan apabila kini mempunyai 10 juta pelabur dengan 170 bilion nilai unit pelaburan dalam edaran.

Iklan
Iklan

Tidak cukup dengan itu, ASB juga merupakan antara produk pelaburan di Malaysia dengan akses paling baik kerana sehingga kini ia mempunyai lebih 2,800 ejen cawangan melibatkan 11 bank termasuk Pejabat Pos, selain cawangan ASNB.

Pelaburan juga kini lebih mudah menerusi portal myASNB dan kemudahan potongan pelaburan automatik, Auto Labur yang semuanya ditawarkan secara percuma.

Iklan

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, ASB mendapat sambutan yang baik sejak awal pengenalannya, namun masih banyak yang perlu dilakukan untuk menjadikan pelabur sedia ada lebih aktif untuk melabur.

"Kami mahu masyarakat bumiputera lebih aktif melabur dalam ASB untuk membina tabungan, tidak kisahlah untuk simpanan waktu kecemasan atau untuk mencapai matlamat jangka masa panjang seperti membeli rumah atau pendidikan anak-anak,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian di Menara PNB di sini baru-baru ini.

Iklan

Menurutnya, ASNB kini giat menjalankan pelbagai aktiviti berkaitan pendidikan pelaburan untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan melabur.

"Tahun ini kami mula memperkenalkan Webinar bagi menyampaikan ilmu pelaburan dan perancangan kewangan secara dalam talian berikutan pandemik koronavirus (Covid-19) yang menyebabkan seminar fizikal tidak dapat dijalankan.

"ASNB merancang menganjurkan kira-kira 70 webinar pada tahun ini atau sekurang-kurangnya dua kali seminggu,” katanya.

Beliau berkata, pada peringkat awal, program pendidikan kewangan dilaksanakan pihaknya menerusi seminar pelaburan secara fizikal pada setiap hari bermula tahun 2000.

Selari dengan perkembangan teknologi, ASNB memperkenalkan kemudahan pelaburan dalam talian menerusi portal myASNB.

Menurutnya, pada tahun 2019, program yang diadakan secara percuma itu berjaya menarik penyertaan seramai 700,000 orang.

"Selepas 30 tahun penubuhannya, masih ramai yang keliru sama ada ASB adalah simpanan atau pelaburan yang menyebabkan ramai pelabur tidak memberi tumpuan untuk merancang pelaburan mereka.

"Tidak dinafikan, ASB nampak seperti simpanan kerana ciri uniknya seperti harga tetap dan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa, namun apabila kita lihat pula kepada pulangan yang diberikan, adakah ia sama dengan akaun simpanan?” soal beliau.

Menurutnya, orang ramai perlu faham bahawa ASB sebenarnya adalah satu bentuk pelaburan, namun uniknya kerana ASB juga boleh menjadi tabungan kecemasan kerana wang pelaburan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa yang diperlukan.

Mohamad berkata, pulangan ASB adalah antara perkara yang menjadi perhatian pelabur dan persoalan mengapa ia tidak tinggi seperti dahulu sering dibangkitkan.

"Keadaan pasaran saham tempatan sejak beberapa tahun lalu tidak begitu baik, malah ada tahun-tahun memperlihatkan pasaran berkenaan memberi pulangan negatif.

"Oleh sebab ASB melabur sebahagian besar dananya dalam pasaran saham tempatan untuk menjana pendapatan, keupayaan untuk memberi pulangan kepada pelabur juga agak terjejas,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohammad berkata, ASB merupakan unit amanah dan pulangan tahunan kepada pelabur bergantung kepada pendapatan tabung hasil pelaburan berdasarkan portfolio yang ditetapkan.

"Yang penting, pulangan ASB masih kompetitif berbanding penanda aras. Apabila bercakap mengenai kompetitif, perbandingannya adalah deposit tetap kerana ASB mempunyai ciri yang hampir sama dengan deposit tetap,” katanya.

Menurutnya, pada awal tahun 1990-an, deposit tetap juga memberi pulangan yang tinggi, namun hari ini ia telah turun kepada kira-kira satu hingga tiga peratus.

"Jadi, jika ASB masih memberi pulangan yang lebih daripada itu, ia sebenarnya masih kompetitif.

"Apabila melihat kepada kelebihan ASB, pasti ia adalah antara peluang pelaburan yang dapat membantu masyarakat bumiputera untuk membina kewangan yang kukuh.

"Ciri unik seperti harta tetap, risiko rendah dan pulangan kompetitif sepatutnya menjadi sebab utama ASB wajar menjadi pilihan apabila mereka ingin membina tabungan, tidak kiralah untuk kecemasan atau merealisasikan matlamat lain seperti membeli rumah atau bersara dengan selesa,” katanya.

Mengakhiri temu bual, Mohammad menasihatkan orang ramai agar sentiasa melabur dalam instrumen pelaburan yang betul seperti ASB.