Klopp ramal ujian getir The Reds

Iklan
Jurgen Klopp - Foto gettyimages

PENGENDALI Liverpool Jurgen Klopp menjangkakan skuad kendaliannya itu berdepan ujian getir pada aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini apabila diundi bersama Ajax Amsterdam, Atalanta dan Midtjylland.

Klopp berkata, kesemua pasukan berkenaan memiliki kualiti tersendiri dan sekali gus menjadikan saingan dalam Kumpulan D kali ini sebagai antara yang cukup mencabar.

Iklan
Iklan

"Semua orang tahu bagaimana prestasi Ajax dua tahun lalu (mara ke separuh akhir UCL). dan pasukan ini juga sering membina pasukan yang lebih baik setiap masa manakala Midtjylland pula sebuah pasukan yang ‘unik’ dan Atalanta pula sering beraksi pada tahap terbaik dalam saingan Serie A.

"Kesemua ini menjadikan Kumpulan D kali ini diwakili oleh pasukan yang mantap dan bukan calang-calang.

Iklan

"Selain itu, kita juga tidak boleh terlalu memikirkan mengenai perjalanan jauh yang bakal ditempuh bagi berdepan ketiga-tiga pasukan berkenaan tetapi sebaliknya memberikan tumpuan kepada perlawanan-perlawanan yang bakal diharungi,” katanya.

Undian yang dilakukan di Geneva kelmarin turut menyaksikan ramalan penyokong The Reds itu meleset kerana menjangkakan skuad Merseyside itu bakal berdepan laluan mudah pada saingan peringkat kumpulan kali ini.

Iklan

Untuk rekod, Liverpool, juara UCL 2018 gagal mempertahankan kejuaraan berkenaan apabila tewas kepada Atletico Madrid pada peringkat 16 pasukan terbaik musim lalu.

Sementara itu Klopp mengakui agak kecewa selepas menyaksikan skuad kendaliannya itu tersingkir daripada saingan Piala Liga Inggeris (EFL) musim ini apabila tewas 4-5 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Arsenal di Anfield awal pagi semalam.

Katanya, biarpun berjaya menewaskan skuad The Gunners itu 3-1 bagi aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di venue sama Ahad lalu, kesebelasan The Reds itu gagal mengulangi kecemerlangan berkenaan dan akur dengan kekalahan kali ini.

"Perlawanan ini ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti dan semua orang tahu mengenainya.

"Bagaimanapun, saya gembira menyaksikan bagaimana pemain beraksi mengharungi perlawanan kali ini,” katanya.