SABAH - Bekas tentera diseru untuk mendaftar dengan Persatuan Veteran Angkatan Tentera (ATM) di negeri masing-masing bagi memastikan kebajikan dan keperluan lebih terpelihara.
Ketua badan bukan kerajaan (NGO) Antarabangsa yang yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan dan pendidikan Asia Tenggara (SEAWEED) Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata, manfaat itu bukan sahaja dinikmati oleh bekas tentera yang berdaftar tetapi turut meliputi isteri dan anak-anak.
Menurut Mustapha yang juga bekas tentera itu lagi, meskipun pelbagai usaha telah dilakukan, namun sehingga kini jumlah yang mendaftar sebagai ahli masih lagi belum memuaskan.
"Saya menyeru kepada semua bekas ATM untuk segera mendaftar dengan persatuan di negeri masing-masing supaya bantuan sewajarnya dapat diberikan kepada mereka yang memerlukan.
"Bantuan-bantuan yang diberikan itu termasuklah peluang pekerjaan, pendidikan dan sebagainya.
"Selain itu juga, dengan adanya penglibatan di dalam persatuan secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan sesama bekas tentera dan berkongsi idea dalam meningkatkan lagi fungsi persatuan,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Mesra bersama Ahli Jawatankuasa Bekas Veteran dan Ahli Ahli di pejabat Persatuan Veteran ATM Sabah di Kota Kinabalu, di sini.
Hadir sama, Yang Dipertuan Persatuan Veteran ATM Negeri Sabah, Marshid Mohd Salleh dan lebih 150 ahli yang lain.
Menurutnya lagi, ahli jawatankuasa persatuan itu juga perlu agresif dan mempelbagaikan aktiviti untuk menarik lebih ramai bekas tentera mendaftar sebagai ahli.
"Jadikan persatuan-persatuan ini sebagai tempat untuk kita sama-sama berusaha memperkukuhkan lagi hubungan dalam kalangan masyarakat dan juga memikirkan kaedah terbaik agar bekas tentera memperoleh pelbagai manfaat nanti.
"Besar juga harapan saya untuk melihat persatuan tentera ini lebih maju dan memberi lebih jaminan kebajikan kepada semua ahlinya,”katanya.