SHAH ALAM - Sanitasi pembasmian kuman dan pembersihan menyeluruh yang selaras garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah dilakukan di dalam pusat beli-belah yang dikenal pasti dikunjungi pesakit koronavirus (Covid-19).
Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Tan Sri Teo Chiang Kok, berkata, kini pusat beli-belah dibenarkan untuk beroperasi bagi memastikan beberapa perkhidmatan penting boleh terus ditawarkan kepada pengguna.
"Walaupun pusat beli-belah sudah melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) penuh dan langkah pembersihan, sukar untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 di pusat beli-belah sepenuhnya kerana individu dijangkiti mungkin tidak bergejala dan tidak dapat dikesan pengimbas suhu.
"Keselamatan kakitangan, penyewa, pemilik, pengunjung dan pelanggan adalah keutamaan dan semua pusat beli-belah mematuhi SOP ditetapkan.
"Ia termasuk pengesanan kontak, saringan suhu badan, memakai pelitup muka, penyediaan cecair pembasmi kuman di pintu masuk dan lokasi strategik lain kepada pelanggan dan kakitangan," katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dibuat berikutan jangkitan Covid-19 yang dikesan di sekurang-kurangnya lima pusat-belah di Kuala Lumpur dan Selangor dalam tempoh 14 hari lalu.
Pada masa sama, Chiang Kok menjelaskan, pembersihan menyeluruh di pusat beli-belah sudah dilaksanakan sejak Februari lalu dan tiada sebarang jangkitan direkodkan dalam tempoh enam bulan, sebelum beberapa kes dikesan baru-baru ini.
Katanya, sanitasi kemudahan awam serta kawasan yang kerap disentuh pengunjung juga sentiasa dilakukan, antaranya eskalator, lif, balkoni, tempat duduk, birai, tandas, kerusi roda, sistem penyaman udara, paip, saluran dan lain-lain.
"Penjarakkan fizikal turut dilaksanakan di restoran, kawasan umum, mesin parkir, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan lain-lain, serta mengehadkan jumlah pelanggan dalam premis.
"Pusat beli-belah juga membuat pengumuman secara kerap bagi mengingatkan pengunjung keperluan mematuhi penjarakkan fizikal, serta memasang papan tanda mengenai penjarakkan fizikal, kebersihan dan lain-lain," katanya.