SHAH ALAM - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan kesedihan di atas pemergian Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong yang meninggal dunia pagi tadi.
Beliau berkata, jasa dan pengorbanan mendiang yang juga Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah (Warisan) itu akan terus dikenang.
"Saya mengutuskan salam takziah kepada keluarga mendiang. Semoga mereka tabah dan diberi kekuatan menempuh dugaan ini.
"Jasa dan pengorbanan mendiang ketika menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) semasa pentadbiran Pakatan Harapan akan terus dikenang rakyat dan negara" katanya menerusi catatan di Facebook miliknya, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen Batu Sapi meninggal dunia
Memetik laporan portal berita, Borneo Today, mendiang menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Gleanegles, Kota Kinabalu.
Berita mengenai kesihatan mendiang mula diperkatakan selepas terdapat beberapa pesanan di laman sosial yang meminta orang awam mendoakan Vui Keong yang didakwa berada dalam keadaan kritikal akibat jangkitan paru-paru.
Vui Keong dilantik sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Warisan Plus baru-baru ini.
Bagaimanapun, sepanjang kempen Warisan pada PRN itu kelibat Vui Keong tidak kelihatan termasuk ketika hari pengumuman calon Warisan Plus di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 10 September lalu.