KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Liew Vui Keong, yang meninggal dunia hari ini.
Muhyiddin berkata, beliau mengenali Vui Keong sebagai seorang yang berdedikasi dengan tugas dan tanggungjawab.
"Saya mendapat perkhabaran Datuk Liew Vui Keong, Ahli Parlimen Batu Sapi, Sabah telah meninggal dunia.
"Saya dan keluarga mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang atas kehilangan orang tersayang,” katanya dalam catatan di laman Facebook.
Bagi pihak kerajaan, Muhyiddin turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas sumbangan Vui Keong sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sebelum ini.
Vui Keong meninggal dunia pada 11.50 pagi tadi di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, dipercayai akibat jangkitan paru-paru.
Mendiang sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan tenat di unit rawatan rapi hospital berkenaan.
Vui Keong, 60, yang berasal dari Kota Belud, dipilih sebagai Ahli Parlimen Batu Sapi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu dan pernah menjawat jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi undang-undang. Beliau juga merupakan Pengerusi Tetap Parti Warisan Sabah.
Vui Keong yang juga seorang peguam, meninggalkan isteri Datin Dr Lindai Lee dan empat orang anak. -Bernama