TAPAH - Kerajaan akan memperkenalkan dasar baharu dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi menangani kemiskinan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kadar kemiskinan di Malaysia ketika ini berdasarkan tarif baharu pada kadar 5.6 peratus dan 40 peratus daripadanya melibatkan orang asli.
Menurutnya, sesi libat urus bagi memperkenalkan dasar-dasar baharu itu sudah pun dilaksanakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk memastikan kemiskinan di negara ini dapat dikurangkan.
"Kita amat komited dalam menangani isu kemiskinan kerana kita dah lama berjuang sejak tahun 1971 dan secara khususnya, selama 50 tahun kita berperang dengan kemiskinan sama di bandar mahupun luar bandar.
"Kita harus ada keberanian memperkenalkan dasar-dasar baharu bagi mengurangkan kemiskinan dalam negara kita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Seminar Pendapatan Garis Kemiskinan 2019 di Dewan Jelutong, Pusat Rekreasi Kuala Woh di sini hari ini.
Hadir sama pada program itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Dalam perkembangan sama, Mustapa berkata, kerajaan akan memberi tumpuan khusus untuk memperkasa masyarakat orang asli dalam RMK12 memandang kadar kemiskinan yang tinggi di kalangan masyarakat itu.
Kata beliau, pendekatan yang lebih berkesan akan dilaksanakan dengan memperkasa pendidikan orang asli dengan mengangkatnya ke peringkat lebih tinggi.
"Kita berpandangan tumpuan harus diberikan dalam bidang pendidikan. Kalau kita perbaiki pendidikan, maka sosial, ekonomi akan bertambah baik.
"Kalau kita dapat perbaiki lagi prestasi pendidikan itu, ia merupakan cara terbaik untuk memajukan ekonomi orang asli," katanya lagi.
Tambah Mustapa, usaha memperkasa orang asli perlu melibatkan semua pihak sama ada kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan agensi berkaitan.