PUTRAJAYA - Selangor dikenal pasti mempunyai dua kluster baharu Covid-19 yang digelar Kluster Seri Setia dan Seri Anggerik.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Seri Setia melibatkan Selangor dan Kuala Lumpur.
"Kes indeks kluster ini iaitu kes ke-10927 dan berumur 36 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna, Sabah dari 16 hingga 20 September," katanya.
Menurutnya, pesakit mula bergejala pada 21 September dan disahkan positif pada Sabtu lalu.
"Susulan itu, saringan kontak rapat terhadap 23 individu telah dijalankan dan tiga lagi dikesan positif.
"Lima lagi masih menunggu keputusan," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya, di sini hari ini.
Beliau berkata, Kluster Seri Anggerik dikenal pasti di Hulu Selangor yang membabitkan kes indeks ke 10,776.
"Dia juga mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah dari 9 hingga 25 September," katanya.
Dr Noor Hisham berkata, pesakit bergejala pada 25 September dan disahkan positif pada keesokan harinya.
"Saringan kontak rapat yang dijalankan terhadap 67 individu mendapati 14 lagi kes positif Covid-19.
"Selain itu 15 individu dikesan negatif dan 38 masih menunggu keputusan," katanya.
Tambahnya, punca jangkitan bagi kedua-dua kluster ini masih dalam siasatan.
"Kesemua kes melibatkan warganegara," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 287 kes positif Covid-19 hari ini