KAMPAR - Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun yang dipercayai terlibat dalam satu perlakuan tidak senonoh yang dirakam bersama pelajar perempuan berusia 13 tahun, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, penahanan lelaki itu dilakukan kira-kira jam 11.30 malam semalam selepas menerima laporan berkaitan klip video yang memaparkan perlakuan kesalahan seksual kedua-dua remaja tersebut.
Iklan
Iklan
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.30 pagi, 22 September lalu di sebuah rumah dan rakaman berdurasi 69 saat itu memaparkan mereka melakukan perbuatan berkenaan ketika berpakaian seragam sekolah tanpa melibatkan orang ketiga.
"Hasil siasatan mendapati rakaman klip video tersebut telah dikongsikan oleh remaja perempuan terbabit dengan beberapa rakan sekelas sebelum tular di media sosial serta dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Hasron Nazri berkata, polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 8 dan 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 377B Kanun Keseksaan.
Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak memiliki, menyebar atau berkongsi klip video tersebut.
"Tindakan ini menjadi satu kesalahan di bawah akta yang sama yang boleh membawa hukuman penjara 15 tahun dan sebat, jika terbukti berlakunya penyebaran video tersebut,” katanya.