KOTA TINGGI - Dua maut manakala seorang lagi cedera dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan treler di Felcra Sungai Ara, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada jam 5.45 petang itu, pemandu dan penumpang kereta tersebut, Suhairi Katwali, 30, dan Norfatihah Md Nasir, 32, meninggal dunia manakala pemandu treler, Mohd Ruzuli Taha, 54, cedera.
Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta satu jentera Fire Rescue Vehicle (FRV) dikejarkan ke tempat kejadian.
Ketua operasinya, Penguasa Bomba Kanan II Ibrahim Wahid berkata, ketika tiba pihaknya mendapati kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing berikutan kereta remuk teruk.
"Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas. Kedua-dua mangsa di dalam kereta berjaya dikeluarkan namun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, kedua-dua mayat dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kota Tinggi.