AWANG memang kagum dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang cakap terus terang.
Beliau bagi tahu dunia bahawa kerjasama partinya dengan parti-parti lain di Sabah tak menguntungkan UMNO. Katanya UMNO hanya jadi ‘pemain politik kecil’ di negeri itu.
Kata Tuk Seri Mad Hasan, UMNO sudah bertapak di Sabah lebih 27 tahun. Selama ini UMNO parti dominan sejak masuk ke Sabah. UMNO jadi ‘ketua’ parti-parti.
Tapi daripada apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang baru lalu, UMNO hanya menjadi salah satu parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Kata Tuk Seri Mad Hasan lagi, untuk jangka pendek dan jangka panjang, UMNO akan hilang pengaruhnya di Sabah. UMNO akan lumpuh dari segi pengaruh.
Beliau juga kata, janganlah pemimpin UMNO bersukacita dengan ‘Langkah Sheraton’ yang membolehkan parti itu bersama pimpinan Bersatu tubuh kerajaan baharu.
Panas juga nampaknya punggung Presiden UMNO dengan pandangan berani timbalannya.
Awang rasa ada benarnya pandangan Tuk Seri Mad Hasan. Banyak juga yang sokong, tapi tak banyak yang berani bersuara.
Maklumlah, ramai dah jadi anggota Kabinet dan duduk semeja dengan Tan Sri Perdana Menteri.
Orang yang dah berjawatan selalu ambil sikap ‘diam-diam dulu, tengok apa macam’ kata orang.