Sekadar perang psikologi ganggu tumpuan PH

Iklan
Mohd Firdaus (dua, kiri) beramah mesra dengan wakil NGO yang hadir pada perjumpaan di Seri Mentaloon.

ALOR SETAR - Umno mahupun Pas jangan menafikan tidak menggunakan elemen perang saraf perkauman di PRK Cameron Highlands, sebaliknya harus bersikap terbuka menerima keputusan.

Exco Penerangan, Komunikasi & Multimedia dan badan-badan bukan Kerajaan (NGO) Kedah, Mohd Firdaus Ahmad berkata, kedua-dua parti itu dilihat cuba memulakan perang psikologi untuk mengganggu tumpuan PH di PRK Semenyih.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini memperlihatkan sikap pimpinan Pas dan Umno yang belum ‘move on’ apabila tewas PRU14.

"Di mana-mana PRK sekalipun, tentu ada sentimen perang saraf. PH terbuka terima kekalahan dan sudah pasti kami akan kaji puncanya, dan teruskan tumpuan pada PRK Semenyih untuk buat lebih baik,” katanya, selepas merasmikan taklimat penubuhan Sekretariat NGO Kedah, di Seri Mentaloon, hari ini.

Iklan

Mohd Firdaus berkata, tidak perlu lagi mana-mana pihak memanjangkan isu PRK Cameron Highlands kerana ia sudah pun berlalu.

"Menang tetap menang, kalah terima keputusan. Bagi yang dakwa PH tidak 'move on' tu, mungkin yang bercakap itu sebenarnya tak boleh terima sudah jadi pembangkang. Ini hanya perang psikologi dan rakyat boleh menilai siapa yang masih bermimpi,” katanya.

Iklan

Katanya, kejayaan BN di PRK Cameron Highlands hanyalah kes terpencil berbanding kejayaan PH pada PRU14 yang berjaya menumbangkan parti yang berkuasa selama 60 tahun di negara ini.

Ini sekaligus menangkis dakwaan Ketua Penerangan Umno Kedah, Datuk Suraya Yaacob yang mendakwa PH menafikan kelemahan mereka apabila tewas di Cameron Highlands dengan menyalahkan Umno dan Pas kononnya melancarkan perang saraf.

Suraya turut meminta PH mengakui kekalahan dan ‘move on’ sebagai kerajaan kerana BN sedia mengajar PH untuk menjadi pembangkang sihat.

Dalam pada itu, Mohd Firdaus berkata, pimpinan di semua peringkat sudah buat yang terbaik.

"Memandangkan ia kubu kuat Umno, tidak mustahil kurangnya pendedahan media massa dan teknologi maklumat di kawasan itu menyebabkan maklumat berkaitan keburukan BN tidak sampai kepada penduduk,” katanya.

Mohd Firdaus yang juga Ketua Armada Bahagian Langkawi merangkap Ketua Pemuda PH Langkawi berkata, usaha menarik sokongan anak muda tidak pernah terhenti sehingga kini.

"Sebelum PRU14 kita berjaya tarik ramai golongan muda, kenapa tak pula puji. Sekarang bila kalah nak kecam konon puncanya sebab gagal tarik sokongan anak muda,” katanya.

Tidak menafikan kekangan masa dan komitmen membaik pulih pentadbiran menyebabkan sebahagian kepimpinan tertinggi agak terhad untuk turun padang, katanya PH baru pegang kerajaan dan perlu perbetulkan kepincangan terdahulu.

"Ia bukan seperti dakwaan bila dah berkuasa tak buat kerja dan tak turun padang.

"Kita tetap bekerja cuma sekarang adalah masa untuk merencana dan lakukan penyusunan pentadbiran,” katanya.

Adun Kuah itu berkata, rakyat perlu berikan lebih masa kepada PH melakukan penyusunan itu agar pentadbiran lebih tersusun.

"Dalam sedikit masa lagi, saya yakin rakyat akan dapat menyaksikan organisasai PH adalah lebih baik berbanding BN sebelum ini,” katanya.