PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan isterinya, Melania disahkan positif Covid-19 semalam.
Pasangan itu sebelum ini mengambil ujian saringan selepas seorang penasihat kanan kepada Presiden, Hope Hicks terkena virus berkenaan.
Tok Ki tak terkejut Trump, 74, dijangkiti kerana minggu ini sahaja Hicks, 31, dilaporkan beberapa kali menaiki helikopter Marine One bersama Trump untuk kempen pemilihan Presiden AS.
Virus ini terbukti tak kenal siapa. Presiden negara kuasa besar dunia yang paling ampuh tahap keselamatannya pun boleh dijangkiti Covid-19.
Bagaimanapun, kejadian itu ibarat buku bertemu ruas susulan Trump memandang rendah ancaman Covid-19 sebelum ini.
Ketika wabak tersebut sedang merebak April lalu, Trump dengan angkuhnya berkata dia tidak akan menutup AS dengan melaksanakan lockdown.
Dia juga menolak untuk memakai topeng muka yang seperti disarankan Pertubuhan Keselamatan Dunia (WHO).
Kali pertama Trump memakai topeng muka di depan khalayak adalah pada pertengahan Julai lalu selepas kes Covid-19 di AS mencecah 3.7 juta kes dengan 140,000 kematian. Cakap saja berdegar-degar tapi tiada tindakan.
Dalam simpati, rupanya ramai yang mengeji. Tok Ki sudah banyak melihat sifat angkuh dan sombong yang akhirnya memakan diri.
Trump ialah seorang yang tiada empati dan sangat mementingkan diri sendiri. Selain mulutnya yang tidak disukai rakyatnya sendiri, sikap hipokrasinya dalam isu Israel dan Palestin mengguris hati begitu ramai umat Islam.
Agaknya itulah sebabnya apabila dia mengumumkan terkena Covid-19, Trump menjadi bahan ketawa dan dipersendakan masyarakat dunia.
Minggu ini, ahli-ahli politik yang baru pulang dari Sabah telah mencetuskan kekecohan di beberapa negeri.
Dua Exco kerajaan negeri di Kedah dan Melaka sah positif Covid-19. Kedua-dua wakil rakyat itu terlibat dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang berakhir Sabtu lalu.
Di Pulau Pinang, sebuah sekolah rendah ditutup dan 600 muridnya terpaksa kuarantin di rumah selepas seorang guru wanita disahkan dijangkiti wabak tersebut.
Guru wanita berusia 40-an itu khabarnya isteri kepada seorang ahli politik di Kedah yang juga pergi berkempen di Sabah baru-baru ini.
Dengan kes baharu Covid-19 mencecah angka 287 kes semalam - tertinggi sepanjang PKPP - orang politik tidak dapat tidak akan dipersalahkan kerana merumitkan keadaan.
Tok Ki percaya Kementerian Kesihatan Malaysia tidak double standard dalam soal kuarantin menteri dan pemimpin politik. Tapi persepsi rakyat susah hendak diubah. Sifir mereka mudah, kalau betul ikut SOP, susah nak kena Covid-19.
Ada cakap-cakap kata, rakyat marhaen berhempas-pulas untuk mematuhi SOP tapi ramai ahli politik sanggup pergi ke negeri penularan wabak demi mengejar pangkat dan kuasa.
Sebab itulah wakil rakyat dan ahli politik jangan terasa hati apabila mereka disalahkan sebab kes Covid-19 naik. Apatah lagi sepanjang kempen PRN Sabah, SOP kurang dijaga.
Ahli politik ini bukan macam Tok Ki yang hanya tercegat di pejabat. Mereka macam selebriti juga, ke mana saja pergi orang sambut dan kerumun.
Pagi rasmikan kolam udang, tengah hari makan bersama menteri, petang ada mesyuarat, malam ada majlis baca Yasin di masjid.
Kalau Tok Ki berjumpa 10 orang sehari, wakil rakyat mungkin sudah bertemu 100 orang. Pendek kata, virus lebih mudah tersebar.
Apa yang dibimbangi rakyat ialah negara akan kena PKP lagi. Ahli politik paling kurang masih ada elaun wakil rakyat. Begitu juga kakitangan awam. Seorang kawan Tok Ki di pejabat kerajaan beritahu, kalau PKP setahun pun ada yang tak kisah.
Tak kiralah kalau pun dia berjenaka, pendek kata gaji sentiasa jalan. Tetapi perkara sebaliknya berlaku ke atas rakyat bawahan. Mereka baru sahaja hendak bernafas, takkan nak kena PKP lagi?
Pemimpin harus jadi teladan, bukan cakap saja berdegar-degar. Kita tidak mahu pemimpin menjadi seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.