SUASANA hidup yang teguh dan stabil menjadi impian kita semua. Oleh itu, kita akan sentiasa berusaha untuk merealisasikannya.
Maka, tidak hairanlah jika ramai yang bekerja kuat untuk teguhkan kewangan mereka, mendidik anak-anak supaya dapat belajar ke peringkat yang tertinggi, mencari menantu yang sesuai dengan taraf kedudukan dan apa juga tindakan yang boleh memperteguhkan kehidupan akan menjadi keutamaan.
Pendek kata, mereka cukup yakin dan percaya bahawa keteguhan serta kestabilan akan menjadikan hidup mereka lebih terjamin dan selamat.
Pun begitu, kita sebenarnya masih belum selamat walaupun sudah teguh dan stabil kerana masih banyak perkara di luar jangkauan kita.
Sebetulnya, kebanyakan mereka yang teguh dan stabil berasa begitu mulia dan jauh daripada ancaman. Maklumlah, rumah semakin besar, anak-anak pun pandai, harta simpanan cukup banyak, malah sentiasa dinaikkan pangkat dan gaji yang banyak.
Saya masih ingat lagi sewaktu saya masih tiada apa-apa, ada seseorang yang begitu teguh kehidupannya telah secara sinis berkata kepada saya,"Jika kamu bawa kereta dan tekan minyak sambil berdiri pun, engkau tidak akan dapat kejar kedudukan aku sekarang.”
Jambatan
Sesungguhnya kata-kata itu begitu meresap ke dalam lubuk hati sehingga kini. Jelaslah, masih ramai yang cukup bangga dengan kedudukan mereka yang begitu teguh sehingga mendorong untuk memperlekehkan orang lain.
Walhal, teguhnya kedudukan tersebut adalah ujian yang paling besar untuk mereka.
Apabila membicarakan tentang ujian, peristiwa pembinaan jambatan merentasi Sungai Choluteca di Honduras boleh dijadikan panduan yang sangat berguna kepada kita.
Pada tahun 1996, kerajaan Honduras bercadang untuk membina sebuah jambatan yang begitu kukuh supaya boleh bertahan dalam keadaan cuaca yang sentiasa dilanda ribut taufan dan banjir besar.
Pada tahun 1998, dengan menggunakan teknologi negara Jepun, jambatan tersebut telah siap dibina dan menjadi kebanggaan seluruh rakyatnya terutama masyarakat sekitar.
Bagaimanapun, pada Oktober tahun yang sama, ribut taufan melanda Honduras sehingga kehilangan nyawa seramai 7,000 orang.
Menariknya, kesemua jambatan di Honduras runtuh kecuali jambatan tersebut, namun ribut taufan meruntuhkan semua jalan yang bersambung dengan jambatan berkenaan.
Sungai yang melalui di bawah jambatan juga beralih arah dan melalui bahagian tepi jambatan. Akibatnya, jambatan tersebut sudah tidak lagi berfungsi sebagai jambatan yang sepatutnya.
Justeru, adalah benar bahawa jambatan berkenaan sememangnya teguh dan stabil, namun ujian ALLAH SWT menjadikan jambatan itu tidak berguna lagi.
Pengajarannya, teguh dan stabil kehidupan kita bukanlah kerana kita berkuasa, berpangkat, berduit, berilmu, berketurunan yang baik-baik serta berbahagia dengan keluarga, sebaliknya kita selamat kerana dikurniakan keredaan ALLAH SWT.
Sesungguhnya, hanya mengikuti jalan yang lurus menjamin keredaan-NYA.
Menurut Abdullah Ibnu Mas’ud, Rasululullah SAW membuat satu garis lurus dengan tangan baginda, kemudian bersabda:"Inilah jalan ALLAH yang lurus.
Sesudah itu, baginda membuat garis lain di sebelah kanan dan kirinya lantas bersabda, ‘Ini adalah jalan-jalan dan tidak satu pun daripadanya melainkan ada syaitan yang mengajak kepadanya' dan baginda membaca -"Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka hendaklah kamu mengikutinya dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan yang lain kerana jalan-jalan tersebut mencerai-beraikan kamu dari jalan ALLAH. Dan demikian itulah ALLAH perintahkan supaya kamu bertakwa.” - Surah Al-An’am, 6:153 (Hadis Riwayat Ahmad).
Ia bermakna, selagi kita angkuh, berasa hebat dan bangga dengan kedudukan kita, selagi itulah kita masih belum berada di jalan yang lurus.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Pensyarah Psikologi Kaunseling, Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Perlis