PASIR MAS - Persembahan tradisional rakyat Kelantan iaitu makyung yang dipersembahkan secara patuh syariah mendapat sambutan masyarakat negeri ini selepas tiga siri jelajah dilakukan.
Exco Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Kelantan, Datuk Md Anizam Abdul Rahman berkata, sebelum ini persembahan itu dilakukan di Tanah Merah, Jeli dan terbaru di Pasir Mas.
"Sepanjang siri jelajah itu dilakukan ia mendapat sambutan dan diterima masyarakat negeri ini walaupun persembahan seni tradisional itu diubah suai dan diharmonikan.
"Makyung patuh syariah dalam persembahan tidak melibatkan peserta wanita dan jalan cerita memberikan manfaat kepada masyarakat selain tiada unsur-unsur ritual," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jejak Warisan dan Jelajah Makyung Patuh Syariah Sempena Tahun Melawat Kelantan 2020 di Dewan Apam Putra Lubuk Jong di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kerajaan negeri akan membenarkan persembahan tarian tradisional makyung di Kelantan sekiranya mematuhi syariat Islam.
Md Anizam berkata, makyung patuh syariah yang dipersembahkan itu dilakukan dengan beberapa penambahbaikan iaitu mengetengahkan pelakon lelaki, penceritaan rakyat dengan unsur nasihat serta elemen kesenian yang menggambarkan kebudayaan Kelantan.
"Tarian juga tidak melibatkan unsur pemujaan dan mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kelantan (JKKK) Rosnan Abdul Rahman berkata, persembahan patuh syariah melibatkan persembahan yang tidak mempunyai unsur-unsur ritual pembukaan panggung, melibatkan watak-watak perempuan namun struktur asal persembahan masih dikekalkan.
"Kita masih kekalkan pakaian, alat muzik seperti persembahan sebelum ini, jadi ia bukan isu yang besar untuk kita pertikaikan asalkan persembahan ini kembali boleh dipertontonkan kepada masyarakat ia sudah menjadi kejayaan besar kepada kami.
"Jangan keliru persembahan makyung tidak ada kena-mengena dengan gender contohnya watak utama makyung dipanggil Pak Yong yang watak itu turut dipegang oleh wanita, persembahan makyung adalah nama khas tarian muzik itu," katanya. - Bernama