GPMS minta semua pihak bertenang

Iklan
Sinar Harian sebelum ini melaporkan Kesatuan Mahasiswa Se-Malaysia menuntut KPT menangani isu kos tambang pengangkutan bagi mahasiswa yang sudah tiba di IPT masing-masing namun diarahkan pulang susulan pengumuman saat akhir penangguhan pendaftaran secara fizikal di seluruh negara. Gambar kanan: Mohd Alif Anas Md Noor

SHAH ALAM - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta semua pihak bertenang dan mendahulukan pelajar-pelajar berhubung keputusan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk menangguh pendaftaran kemasukan secara fizikal dan bersemuka.

Presidennya, Mohd Alif Anas Md Noor berkata, pihaknya telah meneliti aduan-aduan yang tular di media sosial berkenaan pelajar universiti yang terkandas dan khuatir perkara itu akan menjadi luar kawalan sekiranya semua pihak tidak bertenang serta terus berspekulasi.

Iklan
Iklan

"Semua pihak harus segera kembali kepada isu pokok yang perlu diambil tindakan segera oleh pihak yang berkenaan.

"GPMS akui merasa amat terkesan dengan permasalahan yang dihadapi oleh mahasiswa yang telah tiba dan berkemungkinan terkandas kerana tidak dibenarkan masuk ke asrama kediaman dalam kampus mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Justeru katanya, GPMS menggesa pihak universiti, khususnya Hal Ehwal Pelajar (HEP) dan Pentadbir Kediaman untuk bertindak segera, selain mencadangkan menerima semua kemasukan mahasiswa yang telah tiba untuk pendaftaran dan menginap di kediaman dalam kampus.

Katanya, segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di dalam pengurusan mahasiswa di dalam kampus perlu dipatuhi, termasuk saringan serta pengasingan mengikut lokaliti asal pelajar.

Iklan

"Mengeluarkan segera pemakluman massa kepada semua mahasiswa IPT masing-masing sama ada melalui emel dan media sosial rasmi mengenai perkara ini serta sentiasa berkomunikasi dengan mereka sekiranya terdapat sebarang pindaan prosedur.

"Pada masa sama GPMS menyeru semua ibu bapa dan mahasiswa supaya bertenang, jangan mudah terpengaruh dan panik di sosial media. Sekiranya menghadapi sebarang masalah boleh berhubung dengan HEP IPT masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Alif Anas berkata, GPMS menyarankan mana-mana pihak, sama ada individu, parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta yang mahu membantu mereka yang terkandas agar berhubung dengan IPT-IPT yang berkenaan serta memastikan bahawa segala usaha dan bantuan adalah untuk memastikan kebajikan serta keselamatan mereka dijamin.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Kesatuan Mahasiswa Se-Malaysia menuntut KPT menangani isu kos tambang pengangkutan bagi mahasiswa yang sudah tiba di institut pengajian tinggi (IPT) masing-masing namun diarahkan pulang susulan pengumuman saat akhir penangguhan pendaftaran secara fizikal di seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan saat akhir susahkan pelajar IPT

Maszlee lancar Bantuan Khas #Siswajagasiswa