Lebih 7 juta pelanggan TNB dapat diskaun hingga 50 peratus

Iklan
Kenyataan akhbar yang dikeluarkan TNB berhubung pemberian diskaun sehingga 50 peratus kepada pengguna kediaman dalam usaha membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara ketika ini.
KUALA LUMPUR - Lebih tujuh juta pelanggan Tenaga Nasional Bhd (TNB) akan terus menikmati diskaun antara dua hingga 50 peratus berdasarkan penggunaan kadar elektrik bulanan dalam tempoh antara 1 Oktober hingga 31 Disember ini.

Ketua Pegawai Runcit TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, ia lanjutan daripada Diskaun Rangsangan Ekonomi untuk bil elektrik yang diberikan bermula Mac lalu di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

"TNB menyokong usaha kerajaan mengurangkan impak pandemik Covid-19 (koronavirus) kepada rakyat dan langkah yang diambil bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara ketika ini

"Inisiatif perlanjutan diskaun oleh kerajaan ini mengutamakan mereka yang memerlukan akibat pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kadar diskaun yang ditawarkan sebanyak 50 peratus bagi penggunaan elektrik bulanan antara satu hingga 200 kilowatt atau sehingga RM43.60, manakala bagi penggunaan 201 hingga 300 kilowatt atau RM43.70 hingga RM77 pula adalah sebanyak 25 peratus.

Penggunaan elektrik bulanan antara 301 hingga 600 kilowatt atau RM77.10 hingga RM231.80 (15 peratus), 601 hingga 900 kilowatt atau RM232.35 hingga RM395.60 (10 peratus) dan melebihi 900 kilowatt atau melebihi RM396.17 (dua peratus).

Dalam pada itu, Megat Jalaluddin berkata, TNB turut meneruskan tiga inisiatif untuk manfaat pengguna kediaman sehingga akhir tahun ini.

Katanya, ia termasuk pelan bayaran mudah iaitu pilihan untuk pengguna membayar bil secara ansuran tanpa surcaj tambahan, pengecualian surcaj lewat bayar bagi tempoh 18 Mac lalu hingga 31 Disember ini dan penangguhan aktiviti pemotongan bekalan kecuali permohonan daripada pengguna berdaftar dan arahan pihak berkuasa.

"Tanggungjawab membendung penularan wabak Covid-19 adalah usaha kita bersama. Kita seharusnya mengambil berat dan prohatin antara satu sama lain dalam waktu sukar ini," katanya.