SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan kerjasama Pertubuhan Solidaritas berjaya mengumpul dana sebanyak RM51,145.92 bagi membantu mahasiswa yang terkandas sejak semalam.
Muda dalam satu kenyataan memberitahu, menerusi kempen #TolongBantuMahasiswa mudaxSOLIDARITAS yang digerakkan, sasaran awal untuk mengumpul sumbangan sebanyak RM50,000, namun tidak menyangka hasil kutipan melebihi jumlah yang ditetapkan dalam tempoh lebih tiga jam sebaik dilancarkan semalam.
"Muda merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang menyokong kempen ini bagi memberi bantuan wang kepada mahasiswa yang terkesan dengan keputusan KPT menangguhkan pendaftaran mahasiswa secara fizikal di IPT masing-masing.
"Pengumuman yang dilakukan KPT tidak mempunyai maklumat lengkap dan dilakukan pada minit terakhir menyebabkan ramai mahasiswa terkandas dan memerlukan bantuan segera," jelas kenyataan itu.
#TolongBantuMahasiswa mudaSOLIDARITAS digerakkan susulan keputusan mengejut Kementerian Pengajian tinggi (KPT) menangguhkan kemasukan para pelajar ke semua institusi pengajian tinggi (IPT) semalam.
Sementara itu, Muda memaklumkan, pihaknya melihat banyak inisiatif serupa dilakukan oleh banyak pihak bagi membantu para mahasiswa dan ia sekali gus mencerminkan sikap rakyat Malaysia yang sentiasa sedia untuk membantu antara satu sama lain.
"Segala maklumat dan rekod transaksi kempen #TolongBantuMahasiswa akan diterbitkan untuk makluman umum dalam masa terdekat," katanya.
Sementara itu, tinjauan di laman Facebook Parti Muda pula menunjukkan pentadbir laman itu memaklumkan pihaknya akan menutup kutipan kerana jumlah dana yang dikumpul sudah mencapai sasaran ditetapkan.
"Proses pembayaran sumbangan kepada pelajar yang memerlukan akan bermula esok (hari ini). Sudah pasti kami akan berkongsi kepada semua bagaimana sumbangan anda diberikan kepada penerima.
"Terima kasih sekali lagi. Orang Malaysia memang power!" ulas parti tersebut Facebooknya.
ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan saat akhir susahkan pelajar IPT