PENGENDALI Crystal Palace Roy Hodgson menegaskan, dia tidak mahu memberikan tekanan kepada pemain baharunya Eberechi Eze yang dilihat telah mempamerkan aksi cemerlang setakat ini.
Hodgson berkata, biarpun hanya beraksi sebagai pemain gantian bagi tempoh sembilan hingga 15 minit pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Southampton dan Manchester United baru-baru ini, Eze tetap berjaya memberikan aksi yang mengagumkannya.
Malah menurut Hodgson, aksi cemerlang pemain berusia 22 tahun yang sebelum ini beraksi bersama Queens Park Rangers (QPR) itu turut menyaksikannya dipanggil untuk menjalani sesi latihan bersama skuad bawah 21 tahun (B-21) England, baru-baru ini.
"Setakat ini, dia (Eze) telah beraksi dengan cukup baik walaupun hanya diberikan peluang beraksi sebagai pemain gantian.
"Selain itu, apabila saya hadir menyaksikan sesi latihan pasukan, dia turut dilihat memberikan komitmen dan berlatih bersungguh-sungguh.
"Oleh itu, kami berharap kami membuat pelaburan yang betul membawanya ke Selhurst Park,” katanya.
Sementara itu Hodgson berkata, dia belum membuat sebarang keputusan untuk mengekalkan pemain tengah Cheikhou Koyate selaku pemain pertahanan tengah pasukan bagi menampung kekosongan berikutan masalah kecederaan yang melanda sebahagian besar pemain pertahanan pasukan berkenaan ketika ini.
Katanya, Koyate telah pun berjaya membuktikan kemampuannya beraksi di posisi pertahanan berkenaan selain dilihat berkeyakinan mengemudi benteng pertahanan pasukan.
"Dia (Koyate) hanya pemain gantian di posisi pertahanan. Tetapi dia mempamerkan aksi yang cemerlang di posisi berkenaan.
"Kini situasi berkenaan pula memerikan masalah kepada kami sama ada untuk terus mengekalkannya di posisi pertahanan atau mengembalikannya ke posisi tengah apabila pemain pertahanan kami pulih kelak?” katanya.