PADANG BESAR - Peningkatan taraf infrastruktur jalur lebar di negara ini diharap mampu melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, ia akan memberikan manfaat kepada usahawan bumiputera untuk memulakan perniagaan secara dalam talian di rumah tanpa perlu memikirkan bebanan untuk membeli atau menyewa premis bagi perniagaan mereka.
"Kawasan liputan jalur lebar penting bagi membolehkan masyarakat luar bandar turut sama terlibat dalam ekonomi digital,” katanya selepas merasmikan Program Usahawan Digital bersama Telekom Malaysia Berhad di Dewan KEMAS Alor Tampang dekat sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi negeri, Rozieana Ahmad dan Ketua Wilayah Utara Telekom Malaysia Berhad, Datuk Rozlan Mohamed.
Zahidi berkata, kerajaan sedang berusaha menaik taraf mutu capaian jalur lebar di luar bandar dan beberapa cadangan sedang diperhalusi agar masyarakat di kawasan itu dapat memasarkan produk mereka ke pasaran global menerusi platform digital.
Selain itu, katanya usahawan juga perlu dibekalkan pengetahuan secukupnya agar mereka mampu bersaing dan bertahan lama di peringkat antarabangsa.
"Pelbagai usaha dilakukan kerajaan bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan agensi lain termasuk program bersama Telekom Malaysia Berhad hari ini bagi memberi pengetahuan kepada peniaga bagaimana untuk menguruskan perniagaan dan kewangan mereka secara dalam talian,” katanya.
Sementara itu, seorang peniaga barangan sukan dan rekreasi, Mohd Hanif Abdul Halim, 29, berkata, beliau menggunakan Facebook untuk memasarkan produknya secara siaran langsung (live) dalam laman sosial itu dan berjaya meraih jualan tinggi selain produknya juga tular.
Kamarul Arif Abdul Rahman, 46, yang mengusahakan perniagaan pewangi kenderaan berkata,inisiatif ini membantu beliau berniaga tanpa modal besar dengan hanya menggunakan platform perniagaan digital seperti Shopee dan Lazada dari rumah sahaja.
"Pada 2014, saya menjual buah-buahan dengan perlu menyewa tapak, ada kalanya buah tak habis dan saya perlu menanggung rugi. Kemudian saya beralih kepada perniagaan digital yang lebih selamat dan paling penting, ia menguntungkan,” katanya.- Bernama